Rasuah: Guan Eng, Li Koon, Betty mengaku tidak bersalah

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang. - Foto Bernama
Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah.

Guan Eng, 60, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang secara tidak langsung Betty mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di Georgetown, Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa bersubahat dengan Guan Eng yang melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum mengikut seksyen dan hukuman sama.

Sementara itu, Betty, 56, juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM372,009 diterima daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Artikel Berkaitan:

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang masing-masing RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang juga hasil daripada aktiviti haram syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 September 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama