Raih pendapatan empat angka jual benih ikan

Benih ikan puyu Siam yang sedia untuk dibekalkan kepada pelanggan.
Benih ikan puyu Siam yang sedia untuk dibekalkan kepada pelanggan.
A
A
A

SETIU - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Rahmat, Chalok di sini mampu menjana pendapatan sampingan sehingga mencecah RM5,000 sebulan hasil jualan benih ikan air tawar.

Muhammad Iqmal Hakim, 19, berkata, beliau mula menjalankan perniagaan itu selepas menamatkan SPM tahun lalu berbekalkan modal sebanyak RM2,000 termasuk dua kolam simen dan sebuah kolam diperbuat daripada kanvas.

"Lepas SPM saya tak merancang untuk sambung belajar kerana minat untuk berniaga. Disebabkan agak bosan kerana tak buat apa-apa, jadi saya mula terfikir untuk membuat kerja yang boleh jana kewangan di samping dapat membantu keluarga.

"Sebelum cuba bidang ini saya lihat ada rakan berjaya mengusahakan benih ikan jadi saya jadikan ia sebagai model untuk perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.

Menurut Muhammad Iqmal, beliau hanya membekalkan benih ikan yang diperoleh dengan harga borong kolam dan menjual dengan harga semasa pasaran.

Katanya, antara benih ikan dijual seperti puyu Siam, keli, talapia merah dan patin.

Muhammad Iqmal menunjukkan benih ikan yang siap diasingkan untuk dihantar kepada pelanggan.
Muhammad Iqmal menunjukkan benih ikan yang siap diasingkan untuk dihantar kepada pelanggan.

"Permintaan benih ikan di Terengganu sangat tinggi. Setiap hari saya terima tempahan.

Artikel Berkaitan:

"Semalam saya hantar 2,000 ekor benih puyu Siam di Bukit Payong dan hari ini 1,000 ekor di Jerteh.

"Seminggu atau dua minggu sekali saya akan tambah stok benih ikan yang diperoleh daripada seorang kenalan di Kelantan.

"Secara purata dalam sebulan untung kasar saya boleh dapat dalam RM3,000 hingga RM5,000," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, buat masa ini beliau tidak dapat memberi tumpuan penuh kerana perlu fokus pada kerjanya di sebuah kedai perkakasan (hardware).

"Setakat ini saya hanya jalankan perniagaan ini secara sampingan kerana saya sebenarnya bekerja di sebuah hardware, jadi masa saya agak terhad dan hanya tumpu bisnes ini apabila balik kerja dan hari cuti.

"Waktu itulah saya akan buat penghantaran (COD) benih ikan merata tempat sekitar Terengganu seperti di Paka,Dungun; Jerteh, Besut; Chendering, Bukit Payong, Batu 6 dan Manir di Kuala Terengganu.

"Setakat ini banyak tempahan diterima dan ada kalanya saya tidak menang tangan," katanya yang meminati bidang perniagaan sejak di bangku sekolah.

Dalam pada itu, Muhammad Iqmal berkata, beliau bersyukur kerana pendapatan diperoleh hasil jualan benih ikan dapat membantu menyara kehidupan.

"Saya bersyukur, hasil jualan benih ikan saya mampu beli sebuah kereta jenis Perodua Viva terpakai akhir tahun lalu yang sepenuhnya menggunakan hasil keuntungan diperoleh daripada perniagaan ini.

"Saya kini menyimpan impian untuk beli sebuah kereta baharu bagi memudahkan urusan COD ke lokasi lebih jauh," katanya.