Mentaliti kena ubah!

Azzuddin (gambar kecil) meminta pihak pengurusan bersedia berdikari dan menguruskan sendiri segala hal ehwal melibatkan pasukan.
Azzuddin (gambar kecil) meminta pihak pengurusan bersedia berdikari dan menguruskan sendiri segala hal ehwal melibatkan pasukan.
A
A
A

LANGKAH Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) harus seiring dengan perubahan mentaliti badan pentadbir mahupun pihak pengurusan setiap pasukan.

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, perubahan mentaliti yang dimaksudkan itu adalah berkait rapat dengan aspek pengurusan serta pentadbiran sesebuah pasukan.

Menurut Azzuddin, sekiranya tidak ada apa-apa perubahan drastik dalam kedua-dua aspek berkenaan, proses pelaksanaan penswastaan itu dianggap gagal kerana tidak dipatuhi oleh pemegang taruh atau pihak yang terlibat.

“Bagi saya apa-apa perubahan atau rombakan yang hendak dibuat, kita kena fokus kepada bola sepak terlebih dulu. Ini kerana sudah banyak yang kita tengok pasukan dengan status FA, FC yang tidak membawa apa-apa perubahan... hanya sekadar pertukaran nama (status).

“Tidak ada gunanya jika pertukaran status itu dilaksanakan jika masih lagi wujud isu-isu seperti masalah gaji tidak dibayar, tunggakan gaji yang masih membelenggu kebanyakan kelab atau pasukan sehingga ada berlarutan selama berpuluh tahun.

“Jadi kita perlu memastikan pertukaran status itu benar-benar memberikan impak positif termasuk meningkatkan lagi taraf aspek pengurusan serta pentadbiran pasukan termasuk program-program di peringkat akar umbi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Azzuddin memberitahu, proses penswastaan itu juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya setiap pasukan atau kelab dapat diuruskan serta ditadbir sendiri tanpa melibatkan pihak lain terutamanya kerajaan negeri.

“Setakat ini di negara kita hanya ada beberapa stadium serta aset-aset lain yang dimiliki sendiri oleh pasukan berstatus kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United.

Artikel Berkaitan:

“Selebihnya, masih lagi dimiliki oleh kerajaan negeri dan masih berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Jadi itu yang perlu jadi fokus setia pasukan apabila diswastakan nanti,” jelasnya.

Biarpun menyambut baik langkah proaktif yang diambil FAM ketika ini, Azzuddin meminta pihak pengurusan bersedia berdikari dan menguruskan sendiri segala hal ehwal melibatkan pasukan.

“Pihak pengurusan juga perlu menyediakan dana yang mencukupi kerana ia berkisar kepada bajet yang menjadi asas penting setiap pasukan. Kalau betul kita nak jadi macam (kelab) Liga Perdana Inggeris (EPL), banyak lagi perkara perlu dibuat.

“Kita tak akan sekelip mata mampu menjadi seperti Manchester City, kerana kita kena tengok juga apa sasaran kita. Sebenarnya kita masih lagi jauh untuk memisahkan secara total pengurusan dan pentadbiran pasukan dalam arena bola sepak Malaysia,” ujarnya.