Adik Presiden, Abang PM, keluarga Rajapaksa kuasai Sri Lanka

Gotabaya Rajapaksa (kanan) dan abangnya, Mahinda Rajapaksa (kiri) kini merupakan gandingan adik dan abang yang mengemudi pentadbiran Sri Lanka. - Foto AFP
Gotabaya Rajapaksa (kanan) dan abangnya, Mahinda Rajapaksa (kiri) kini merupakan gandingan adik dan abang yang mengemudi pentadbiran Sri Lanka. - Foto AFP
A
A
A

GANDINGAN abang dan adik daripada keluarga Rajapaksa kini mengukuhkan lagi cengkaman kuasa mereka selepas Mahinda Rajapaksa dilantik sebagai Perdana Menteri Sri Lanka buat kali keempat pada Ahad lalu.

Mahinda mengangkat sumpah jawatan di hadapan adik lelakinya, Presiden Gotabaya Rajapaksa selepas Parti Podujana Sri Lanka (SLPP) memenangi 145 kerusi dalam pilihan raya parlimen pada Rabu lalu.

Beliau yang memimpin SLPP memerlukan sebanyak 150 kerusi dalam Dewan Perundangan yang dianggotai oleh 225 ahli jika mahu membuat perubahan dalam perlembaagaan.

Bagaimanapun, Mahinda yang berusia 74 tahun dan pernah menjadi Presiden Sri Langka dijangka akan mudah mendapat sokongan kerana dia mempunyai empat buah parti sekutu dalam pilihan raya tersebut.

Lima anggota daripada keluarga Rajapaksa telah dipilih menjadi ahli parlimen.

Selain daripada Mahinda, seorang anak lelakinya Nawal dan abang sulung Perdana Menteri, Chamal turut dipilih sebagai ahli Parlimen.

Seorang anak lelaki Chamal, Sashindra dan seorang sepupu keluarga itu, Nipuna Ranawaka juga menjadi ahli Parlimen negara itu.

Anggota keluarga Rajapaksa telah menguasai politik Sri Lanka selama dua dekad. Mahinda pula pernah berkhidmat sebagai presiden hampir sedekad iaitu dari tahun 2005 hingga 2015.

Artikel Berkaitan:

Dia mengalami kekalahan yang tidak dijangkakan dalam pilihan raya Presiden pada tahun 2015 selepas dituduh melakukan rasuah, mempunyai cita-cita mewujudkan dinasti politik dan tidak bertolak ansur terhadap kritikan-kritikan.

Mahinda merupakan seorang pejuang dalam dunia politik menjadi ahli parlimen paling muda ketika berusia 24 tahun.

Pernah menjadi Menteri Buruh (1994 hingga 2001) selain Menteri Perikanan dan Sumber-Sumber Akuatik (1997 hingga 2001) di bawah pemerintahan Presiden Chandrika Kumaratunga yang melantiknya sebagai Perdana Menteri setelah pilihan raya umum pada April 2004 berikutan kemenangan majoriti parti Perikatan Kebebasan Bersatu Rakyat (UPFA).

Dia sekali lagi menjadi Perdana Menteri bagi tempoh yang singkat masing-masing pada tahun 2018 dan 2019.

Pada 26 Oktober 2018, Rajapaksa dilantik oleh Presiden Maithripala Sirisena sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Ranil Wickremesinghe selepas UPFA menarik diri daripada kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, dia meletakkan jawatan pada bulan Disember 2018 bagi menamatkan krisis politik selepas Mahkamah Agung membuat keputusan yang menyebabkan usahanya bagi terus memegang jawatan perdana menteri tidak dapat dipertahankannya lagi.

Gotabaya yang kemudian menjadi Presiden pula menamakan abangnya itu sebagai Perdana Menteri semula pada November tahun lalu bagi menggantikan Wickremesinghe yang meletakkan jawatan ekoran kekalahan partinya dalam pilihan raya Presiden.

Sebelum ini, Gotabaya pernah menjadi menteri pertahanan di bawah pemerintahan Mahinda.

Mahinda yang juga pernah memegang jawatan Menteri Kewangan selain perdana menteri popular dalam kalangan etnik majoriti Sinhala iaitu penduduk asal negara itu kerana berjaya menamatkan Perang Saudara selama 25 tahun bagi menentang anggota-anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada tahun 2009.

Askar-askar Sri Lanka memeriksa senjata dan mayat anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam. - Foto AFP
Askar-askar Sri Lanka memeriksa senjata dan mayat anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam. - Foto AFP

Gandingan itu kini turut menolak pembaharuan yang sebelum ini dilakukan oleh pentadbiran yang terdahulu.

"Kami berharap kerajaan akan memperbaharui komitmennya untuk melakukan pemulihan ekonomi, mendukung hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang," kata Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Gotabaya mengumumkan untuk bertanding jawatan presiden pada April tahun lalu.

Berikutan kemenangan dalam pilihan raya tersebut, parti SLPP mahu memansuhkan Pindaan ke-19 Perlembagaan yang menghalang kuasa Presiden.

Bekas Menteri Luar, Gamini Lakshman Peiris berkata, sebelum ini Gotabaya mahu membubarkan parlimen tidak lama selepas beliau memenangi pilihan raya pada bulan November tahun lalu tetapi Pindaan ke-19 Perlembagaan itu menghalangnya daripada berbuat demikian.

"Ini adalah tidak boleh diterima," kata Peiris.

Parti SLPP juga berjanji untuk memansuhkan pembaharuan yang dilakukan pada tahun 2015 iaitu ke atas perkhidmatan awam, badan kehakiman, suruhanjaya pilihan raya dan tidak mempolitikkan polis.

Gotabaya merupakan bekas pegawai kanan tentera pernah digelar sebagai 'Terminator' oleh keluarganya sendiri dan selepas kemenangannya sebagai Presiden, dia melantik Mahinda sebgai Perdana Menteri.

Bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger pernah melakonkan watak Terminator dalam filem yang menggunakan nama sama sebagai cyborg iaitu mesin pembunuh yang datang ke Bumi dari masa depan.

Mahinda dikatakan akan mempromosikan anaknya, Nawal sebagai waris penggantinya.

Nawal dan tiga lagi anggota keluarga Rajapaksa dijangka mengawal portfolio penting dalam pentadbiran perdana menteri itu.

Pilihan raya parlimen itu terpaksa ditangguhkan dua kali kerana pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi pengundi yang keluar mengundi lebih daripada 75 peratus daripada 16 juta pengundi dengan langkah-langkah penjarakan sosial dilaksanakan sepanjang pengundian berlangsung.

Wickremesinghe pula kalah dalam kawasan yang ditandinginya dengan partinya yang sebelum ini mempunyai 106 kerusi tetapi sekarang hanya tinggal satu kerusi.

Bagaimanapun, kemenangan besar Mahinda tersebut menimbulkan kebimbangan akan melemahkan lagi institusi-institusi kerajaan seperti suruhanjaya bebas. - Agensi