Rumah berhantu Ireland mahu dijual RM12.34 juta

Inilah Loftus Hall di Fethard on Sea di daerah Wexford, Republik Ireland yang menanti pembeli baharu. - Foto Peta Google
Inilah Loftus Hall di Fethard on Sea di daerah Wexford, Republik Ireland yang menanti pembeli baharu. - Foto Peta Google
A
A
A

BELFAST - Bagi para peminat rumah berhantu inilah masa untuk memilikinya bagi menyaksikan sendiri kejadian aneh yang didakwa berlaku di dalam kediaman itu.

Bagaimanapun, harganya mungkin membuatkan pembeli berfikir banyak kali sebelum membelinya.

Menurut portal berita The National pada 3 Ogos lalu, kediaman yang dikenali sebagai Loftus Hall di Fethard on Sea di daerah Wexford, Republik Ireland yang mempunyai 22 bilik itu kini mahu dijual pada harga 2.5 juta euro (RM12.34 juta).

Rumah itu mahu dijual oleh pemiliknya iaitu pasangan adik-beradik Aidan dan Shane Quigley yang membeli kediaman seluas 25.49 hektar pada harga 625,000 euro (RM3,085,342) pada tahun 2011.

Pasangan tersebut yang masing-masing bekerja sebagai jurubina dan petani membelanjakan sehingga 250,000 euro (RM1,234,136) setiap tahun untuk perniagaan melawat ke rumah berhantu itu dan penjagaan terhadap bangunan tersebut.

Rumah tersebut dibiarkan kosong selama 20 tahun sebelum mereka membelinya dan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.

Menurut portal berita Evoke, kediaman tersebut pada awalnya dibina pada tahun 1170 oleh seorang pahlawan Norman iaitu Raymond Les Gros.

Berdasarkan cerita legenda, terdapat jelmaan hantu seorang wanita muda dan syaitan di dalam rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Rumah tersebut yang mempunyai ramai pemilik menjadi popular disebabkan kisah aneh yang terjadi kepada seorang anak perempuan Lady Tottenham, Lady Anne.

Ketika tinggal di rumah tersebut, Lady Anne yang mahu mengambil daun terup yang jatuh ke lantai ternampak seorang lelaki mempunyai kaki menyerupai haiwan.

Dia kemudian menjerit dan lelaki itu hilang dalam kepulan asap manakala Lady Anne menjadi gila dan mengunci diri di dalam rumah tersebut sebelum meninggal dunia.

Rumah itu pernah dijadikan sekolah untuk pelajar perempuan dan hotel.

"Ramai orang telah melihat pelbagai perkara aneh yang menyebabkan mereka berasa hairan," kata adik-beradik itu.