X

Kindly register in order to view this article
!

Dinamika politik Malaysia

M Periasamy (Gambar kecil)
A
A

PENGUMUMAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bahawa UMNO menarik diri daripada gagasan Perikatan Nasional, (PN) tetapi akan terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri mencetuskan satu lagi ketidaktentuan politik yang mengundang pelbagai persepsi. Ini termasuklah tentang kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.

Luahan hasrat oleh bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah lagi parti politik Melayu baharu yang tidak terikat dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun PN menambahkan rencah dalam situasi yang sedia wujud.

Namun begitu, soal ketidaktentuan politik ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat rakyat Malaysia. Sejak awal tahun 2020 lagi, rakyat sudah mula memerhati ledakan politik yang dinamik dan luar biasa di Malaysia yang masih tiada bertitik noktah.

Peristiwa peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri diikuti pula dengan tindakan Bersatu keluar daripada PH sehingga tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020. Dan ia disusuli dengan penubuhan kerajaan baharu PN pada 1 Mac 2020 dengan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, landskap politik negara terus diwarnai dengan isu usul tidak percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin yang dikemukakan pada 4 Mei. Namun, usul tidak percaya tersebut tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PN bertindak bijak dengan menukar Speaker Dewan Rakyat.

Meskipun Muhyiddin berjaya dalam isu undi tidak percaya, namun beliau masih terus dibayangi dengan satu lagi cabaran penting iaitu Belanjawan 2021. Banyak pihak berpendapat bahawa kelulusan Belanjawan 2021 berkait rapat dengan soal ‘hidup-mati’ kerajaan PN.

Sokongan

Persoalannya, adakah Muhyiddin akan berjaya melepasi cabaran untuk meraih kelulusan terhadap Belanjawan 2021 yang julung kali dibentangkan oleh kerajaan kepimpinan beliau?

Keputusan sama ada belanjawan tersebut diterima atau ditolak tidak dapat dipastikan sepenuhnya memandangkan sewaktu pemilihan Speaker Dewan Rakyat baharu ia mendedahkan bahawa pihak kerajaan PN hanya meraih sokongan 111 ahli Parlimen, manakala pembangkang (Pakatan Harapan) pula meraih sokongan 109 ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Kedudukan peratus sokongan yang hampir setara antara kedua-dua blok itu jelas membayangkan bahawa kedudukan kerajaan PN seperti ‘telur di hujung tanduk’.

Dalam pada itu, langkah strategik Muhyiddin dengan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi (Bantuan Prihatin Nasional) untuk meringankan beban rakyat apabila negara dilanda pandemik Covid-19 nampaknya telah meningkatkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau.

Langkah-langkah pengukuhan ekonomi beliau berjaya mewujudkan satu imej baharu iaitu Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat.

Dalam konteks ini, adakah pengumuman parti baharu untuk mewakili orang Melayu akan menyebabkan berlakunya kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap kepimpinan Muhyiddin?

Muhyiddin, selaku seorang pemimpin politik yang bijak, tidak akan mengetepikan gelombang sentimen orang Melayu yang kini kuat menyokong Muafakat Nasional yang semakin mendapat tempat dalam politik negara.

Walau apa pun, kerjasama antara Muafakat Nasional dan Muhyiddin dijangka mampu menahan tekanan dan impak daripada penubuhan parti baharu politik tersebut yang mungkin timbul kelak.

* Datuk M Periasamy ialah penganalisis politik, sosial dan ekonomi negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!