Jangan serumit Bosnia Herzegovina

Dr Mahathir dan Muhyiddin
Dr Mahathir dan Muhyiddin
A
A
A

PADA awal Mac 1992 hingga tahun 1995, dunia dikejutkan dengan konflik bersenjata antarabangsa terburuk selepas Perang Dunia Kedua apabila lebih 100,000 nyawa melayang akibat pertelingkahan etnik di republik Bosnia Herzegovina.

Muslim Bosnia menjadi mangsa kekejaman misi pembersihan etnik oleh tentera Serbia yang ketika itu disokong etnik Croatia. Pengganas mengisytiharkan pengasingan jajahan di Bosnia Herzegovina, Republik Srpska dan Herzeg Bosnia.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa Reuters, insiden berdarah selama tiga tahun itu menyebabkan jutaan rakyat menderita apabila tentera Serbia merogol, membunuh wanita Islam Bosnia dan memusnahkan kediaman yang berada di laluan mereka.

Kemuncak pertelingkahan etnik tiga segi di antara Serbia, Bosnia dan Croatia mendapat perhatian dunia termasuk Malaysia.

Kerajaan Malaysia pada ketika itu menghulurkan bantuan kepada rakyat Muslim Bosnia.

Sebanyak sembilan kontinjen terdiri daripada 10,514 pegawai pelbagai pangkat dalam misi pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) dan Kontinjen Malaysia (Malcon) di bawah Pasukan Pelindung Bangsa-bangsa Bersatu (UNPROFOR) dihantar ke sana.

Kerajaan kita turut membawa masuk anak-anak yatim piatu etnik Bosniak untuk dijadikan sebagai anak angkat oleh rakyat Malaysia.

Kini, republik tersebut dipimpin selama lapan bulan dalam tempoh empat tahun oleh ahli Parlimen daripada setiap etnik yang dipilih melalui sistem undian.

Itu adalah separuh cerita mengenai Bosnia Herzegovina yang penulis boleh kongsi − mungkin ada sedikit perkaitan situasi di Malaysia kini.

Artikel Berkaitan:

Rebut kerusi

Satu demi satu drama politik kerajaan Malaysia menggamit perhatian rakyat.

Isu lompat parti, perpecahan dalam parti dan parti baharu mencetuskan kekecohan emosi rakyat.

Pergolakan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyumbang kepada kehangatan berita politik negara.

Sejak dua minggu lalu, dua parti utama iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat mengatur strategi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dalam proses membentuk kerajaan negeri.

Tiga hari lalu, Pas menerusi kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyatakan hasrat meletakkan calon di Negeri Bawah Bayu itu.

Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan parti Melayu baharu.

Sidang akhbar itu dihadiri Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Menariknya, Dr Mahathir mengumumkan parti baharu yang masih tiada nama itu akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim pada 29 Ogos ini.

Kata beliau, “Sekiranya kita tidak sempat daftar parti sebelum penamaan calon pada 15 Ogos, kita akan bertanding sebagai calon Bebas.”

Tidak sampai 24 jam, timbul ura-ura parti Bersatu akan berkubur. Dakwa bekas Setiausaha Agung Bersatu, Senator Dr Marzuki Yahya, kira-kira 70 peratus ahli mula keluar daripada parti itu untuk menyokong parti baharu Dr Mahathir.

Semalam, tindakan sebahagian ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu keluar daripada parti dikecam.

Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dakwaan seramai 15 daripada 17 AJK keluar parti membawa kepada pembubaran Bersatu Bahagian Kota Raja termasuk enam cawangan adalah tidak tepat dan bercanggah dengan Fasal 30.1 Perlembagaan Bersatu.

Kehangatan berita itu berlegar-legar di ruang udara Malaysia dan pastinya rakyat tertanya-tanya apakah penamatnya menjelang PRU15.

Janganlah nanti rakyat juga yang menderita dek ketidaktentuan dunia politik dan ditambah kegusaran pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagi penulis, lebih baik untuk kita semua termasuk para pemimpin yang ilmuwan fokus terhadap kerisauan rakyat mendepani kegawatan ekonomi akibat Covid-19.

Janganlah kita asyik berbalah demi merebut kerusi tertinggi tetapi lantainya pula retak seribu.

* Nurbaya Abdul Rezak ialah Editor Halaman Sinar Harian