Penguatkuasaan lemah punca pendekatan tular digunakan

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

KLANG - Tindakan menular kewujudan pusat perjudian dan kedai warga asing di Sungai Buloh menerusi media sosial dilakukan kerana tindakan penguatkuasaan ketika ini tidak tegas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, kawasannya turut berhadapan masalah hampir sama terutama melibatkan peniaga asing sehingga menimbulkan isu ketenteraman awam dan masalah sosial termasuk isu keselamatan serta kebersihan.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali membuat aduan berhubung isu tersebut, namun penguatkuasaan yang dilakukan tidak memberikan kesan kepada aktiviti berkenaan.

"Saya sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk saya sendiri membuat serbuan di tempat pelacuran haram untuk mengambil tindakan namun tidak memberi sebarang kesan. Malah mereka akan membuka semula perniagaannya selepas beberapa jam tindakan di buat.

"Pelaku merasakan pihak kerajaan tidak mampu melakukan apa-apa kepada mereka, seperti mereka pula tuan kepada tempat ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau mencadangkan penguatkuasaan lebih tegas dilakukan terhadap warga asing bermasalah dan orang tempatan yang bersubahat turut dikenakan tindakan.

"Ini termasuk merobohkan struktur binaan haram, menghantar warga asing bermasalah pulang ke negara mereka dan namanya disenarai hitam masuk ke negara ini.

"Warga tempatan yang bersubahat dan melindungi aktiviti haram warga asing pula perlu dikenakan tindakan undang-undang termasuk penjara dan sebatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya tindakan tegas diambil, katanya, beliau yakin isu rakaman video tular tidak akan berlaku.