Superintendan palsu liwat remaja 14 tahun

Shamsul Amar (tengah) menunjukkan seragam polis yang digunakan suspek dalam kegiatan penyamarannya.
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang banduan yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Superintendan ditahan selepas terlibat dengan jenayah penyamaran dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Suspek berusia 42 tahun yang menggelarkan diri sebagai Superintendan Shahrul itu baharu dibebaskan atas kesalahan jenayah yang dilakukannya, dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, terdahulu suspek ditahan selepas polis menerima laporan berkaitan meminta wang sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita tempatan sebagai jaminan untuk membebaskan suaminya seorang warga Indonesia yang berada dalam tahanan Imigresen.

Suspek menyamar sebagai Superintendan Shahrul.
Suspek menyamar sebagai Superintendan Shahrul.

Katanya, susulun laporan polis yang dibuat mangsa, polis menahan suspek di sebuah kawasan di Kampung Delek Kanan, Klang di sini pada jam 1.30 petang, Rabu lalu.

“Pada hari yang sama, polis turut menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa liwat dipercayai didalangi dari suspek sama.

"Semakan ke atas suspek didapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau iaitu pernah menyamar sebagai polis, kes tipu dan kes curi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, polis turut merampas seragam polis dan kad kuasa dengan lambang Polis Diraja Malaysia, vest polis, kasut serta beberapa lagi pakaian yang digunakan suspek dalam aktiviti menyamar sebagai polis.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, pakaian dan kelengkapan berkenaan dibeli di sebuah kedai yang menjual seragam polis di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes penyamaran sebagai polis di daerah ini dan dua kes berkaitan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, polis percaya masih ada lagi individu yang bertindak salah dengan menyamar sebagai penjawat awam khususnya polis untuk tujuan pemerasan wang ringgit dan sebagainya.

"Juateru itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah seperti itu diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran," katanya.