Lagi menteri Lubnan umum letak jawatan

Najm (kiri) mengumumkan pengundurannya hari ini dan Wazni dijangka mengemukakan surat peletakan jawatannya di mesyuarat Kabinet. - Foto Agensi
Najm (kiri) mengumumkan pengundurannya hari ini dan Wazni dijangka mengemukakan surat peletakan jawatannya di mesyuarat Kabinet. - Foto Agensi
A
A
A

BEIRUT - Menteri Kehakiman Lubnan menjadi anggota ketiga dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Hassan Diab meletak jawatan susulan insiden letupan dahsyat yang menggegar Beirut pada minggu lalu, menurut media tempatan hari ini.

Marie-Claude Najm membuat keputusan itu sehari selepas Menteri Maklumat, Manal Abdel Samad dan Menteri Alam Sekitar, Damianos Kattar mengambil langkah serupa yang turut menyaksikan sembilan ahli Parlimen lain berbuat demikian sebagai tanda protes terhadap kerajaan.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Ghazi Wazni yang merupakan perunding utama dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung pelan penyelamat untuk memulihkan krisis ekonomi di Lubnan sebelum ini juga dikhabarkan bakal mengemukakan surat peletakan jawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi menteri Lubnan letak jawatan

Menurut sumber rapat dengan beliau, Wazni juga membuat keputusan untuk berundur dan bakal menyatakan perkara itu pada mesyuarat Kabinet.

Mesyuarat Kabinet dijadualkan berlangsung hari ini selepas Kabinet bakal menyaksikan peletakan jawatan beramai-ramai susulan berdepan desakan kumpulan protes yang melancarkan siri tunjuk perasaan sejak akhir minggu lalu.

Difahamkan, jika jumlah menteri yang berundur mencecah tujuh orang, Kabinet secara efektif akan menjadi kerajaan sementara.

Sebelum ini, Diab menggesa mana-mana menteri yang berhasrat untuk meletak jawatan supaya menangguhkan keputusan tersebut sehingga sidang Kabinet berlangsung yang bertujuan bagi membincangkan langkah pengunduran beramai-ramai dan bukan secara individu.

Artikel Berkaitan:

Speaker Parlimen, Nabih Berri juga mengumumkan sesi terbuka bermula Khamis ini untuk berdiskusi tentang jenayah yang telah memberi impak besar kepada ibu negara dan rakyat.

Diab turut menyatakan cadangan untuk mengusulkan pilihan raya awal dan akan memberi tempoh dua bulan kepada kesemua parti politik bagi melakukan pembaharuan struktur.

Minggu lalu, pemerintah memberi tempoh enam hari untuk mengeluarkan keputusan siasatan kejadian letupan itu, namun rakyat didakwa tidak percaya dengan siasatan dilakukan pihak berkuasa tempatan dan menggesa campur tangan antarabangsa. - Agensi