Pulihara tapak pertempuran Kampar

Green Ridge di Kampar, Perak
Green Ridge di Kampar, Perak
A
A
A

Sejak 40 tahun lalu, pelbagai usaha dilakukan bagi menyelamatkan lokasi sejarah Green Ridge di Kampar, Perak yang terletak berhampiran Jalan Ipoh - Kampar.

Kawasan berbukit itu ialah lokasi pertempuran melibatkan 1,500 tentera British menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari pada 30 Disember 1941 semasa Perang Dunia Kedua.

Seramai 150 tentera British serta 500 tentera Jepun terkorban dan merupakan salah satu pertempuran hebat dalam kempen Jepun menawan Tanah Melayu semasa mara ke Singapura.

Usaha menyelamatkan lokasi bersejarah itu dipelopori pesara guru, Chye Kooi Long yang mahu tapak pertempuran tersebut diselamatkan sebagai warisan negara.

Kooi Long, anak kelahiran Kampar, merupakan sejarawan perang dan penulis buku The History of the British Battalion – Malayan Campaign pada tahun 1984 hasil penyelidikan beliau selama tujuh tahun di Britain dan Jepun mengenai pertempuran berkenaan.

Buku berkenaan masih menjadi rujukan dalam kalangan pengkaji termasuk pengkaji di luar negara.

Pada tahun 2000, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah mengutus sepucuk surat kepada beliau memaklumkan tentang usaha yang akan diambil bagi mewartakan tapak sejarah berkenaan.

Sehinggalah mendiang Kooi Long menutup mata enam tahun lalu pada usia 85 tahun, impiannya tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

Tidak ramai yang ambil tahu tentang nilai sejarah tapak pertempuran seluas kira-kira 6.5 hektar itu termasuklah pihak berkuasa yang sepatutnya.

Pertempuran Kampar merupakan antara subjek yang dikaji oleh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan luar negara yang menyambung pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera. Kampar dipertahankan oleh Divisyen Tentera India ke-11 yang berkekuatan kurang daripada sebuah briged.

Tunjang utama ialah Batalion British yang menggabungkan saki-baki Batalion Pertama Royal Leicester Regiment dan Batalion Kedua The East Surrey Regiment.

Ini juga merupakan pertama kali dalam sejarah peperangan tentera darat British apabila dua buah batalion yang berbeza digabungkan menjadi sebuah pasukan.

Pertempuran Kampar menyaksikan pertemuan buku dengan ruas apabila buat pertama kali artileri British memberikan tembakan sengit terhadap kemaraan musuh. Pertahanan kubu-kubu berlapis tentera British juga sukar ditembusi tentera Jepun.

Malah, beberapa platun tentera British dan askar Punjab telah mempamerkan keberanian luar biasa apabila melancarkan serangan dengan benet terhunus terhadap tentera Jepun yang berkubu.

Tentera Jepun ingin menawan Kampar sebagai hadiah tahun baharu kepada Maharaja Hirohito. Bagaimanapun, mereka dikalahkan oleh tentera British yang bertahan sebelum berundur.

Tiga tapak pertempuran ialah Green Ridge, Thompson Ridge dan Cemetery Ridge, malangnya Thompson Ridge telah lenyap yang kini dikenali sebagai Taman Kampar Jaya.

Green Ridge merupakan satu-satunya kawasan pertempuran Perang Dunia Kedua yang masih mempunyai kesan biarpun terbiar dalam belukar sejak 78 tahun lalu.

Pada Julai lalu, pihak Jabatan Warisan Negara telah meninjau ke tapak Green Ridge bagi melihat tinggalan fizikal seperti kubu serta melakukan kerja-kerja mengukur kesan serta struktur dan binaan yang masih ada.

Difahamkan, ia bagi tujuan dokumentasi disusuli rancangan mewartakan tapak sejarah berkenaan namun tiada kepastian mengenai perkara tersebut.

Cadangan untuk memulihara kawasan itu sebagai lokasi tarikan pelancongan juga bukan baharu. Kerajaan negeri Perak, misalnya, pernah menyuarakan hasrat pada tahun 2009 dan 2016.

Dikhabarkan, Green Ridge juga bakal menyusul senasib dengan Thompson Ridge kerana ada cadangan untuk dimajukan sebagai tapak perumahan oleh pemiliknya.

Pertahanan kubu-kubu berlapis tentera British juga sukar ditembusi tentera Jepun.”

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu