X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah pelopor Saba Islamic Media

A
A

SABA Islamic Media dan IIS (Islamic Information and Services Foundation) adalah sinonim kepada sepasang suami isteri iaitu Kak Saba yang meninggal dunia pada tahun 2017 dan Bro Bakar yang meninggal dunia pada 2 Ogos 2020.

Hanya sedikit sahaja berita media tentang mereka berdua. Contohnya, saya hanya dapat cari video YouTube di mana mereka berdua diwawancara bersama di bawah tajuk ‘Abu Bakar + Sabariah Saba Islamic Media’ sahaja. Mengapa begitu sedikit sekali tentang dua pengasas organisasi dakwah yang berjaya merevolusikan paradigma dakwah di Malaysia secara besar-besaran?

Ini adalah kerana Kak Saba dan Bro Abu Bakar merupakan pendakwah yang benar-benar merupakan tulang belakang dakwah. Mereka lebih memilih untuk fokus kerja dakwah di belakang tirai daripada menjadi personaliti glamor di media.

Tetapi merekalah yang telah menyediakan platform yang cukup besar melalui Saba Islamic Media dan IIS bagi melonjakkan nama-nama pendakwah hebat di seluruh Malaysia seperti Shah Kirit, Lim Jooi Soon, Engku Fauzi, Firdaus Wong, Allahyarham Adlan Aziz, Kapten Hafiz Firdaus dan lain-lain.

Saya sebenarnya tidak suka bergiat dalam mana-mana NGO dakwah sehinggalah pertama kali saya menjejak kaki di Saba Islamic Media sekitar lewat 1990-an. Saya terkejut tengok buku dan video Sheikh Ahmed Deedat begitu banyak di sana. Memang amat susah nak dapat bahan tentang Deedat pada zaman itu.

Mungkin pembaca rasa pelik mengapa saya terkejut. Pembaca kena faham bahawa YouTube, WhatsApp, Facebook, Instagram bahkan smart phone belum lagi wujud pada zaman itu!

Saya hanya guna internet untuk e-mel! Kalau handphone, sekadar dapat SMS pun kira boleh show offlah. Saya jarang melayari internet pada zaman itu kerana terlalu sedikit maklumat berkualiti tentang dakwah.

Saba Islamic Medialah yang menjadi gedung maklumat untuk saya mendapat idea paling terbaharu tentang kaedah dakwah. Dialog saya teringat Bro Bakar memberitahu saya tentang impiannya semasa saya melepak di galeri buku Saba Islamic Media di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur. Beliau membayangkan bahawa satu hari nanti dialog interfaith akan dibudayakan di negara kita.

Bayangkan manhaj debat Sheikh Ahmed Deedat yang diubahsuai dengan budaya Malaysia, lalu menjadi dialog interfaith yang bersifat mesra dan harmoni. Zakir Naik belum terkenal masa itu.

Lalu mereka menubuhkan IIS. IIS memfokus kepada program dakwah multi budaya. Peranan Saba Islamic Media ialah menjana dana untuk aktiviti-aktiviti IIS. Apa yang begitu menakjubkan tentang IIS ialah laungan Kak Saba dan Bro Bakar begitu tajam dan berani iaitu mari kita letak al-Quran di semua hotel-hotel terkemuka di Malaysia! Ini sudah pasti amat kontroversial sekali. Tiada satu pun badan dakwah pernah buat cadangan itu.

Kita juga beri platform kepada bakat-bakat pendakwah baharu daripada pelbagai bangsa. Lonjakkan nama Shah Kirit, Lim Jooi Soon, Yahya Yai, Engku Fauzi dan Adlan Abdul Aziz.

Mari kita panggil Sheikh Imran Hossein datang untuk sedarkan rakyat Malaysia tentang dajal. Panggil Cheb Ali dan Yusuf Islam untuk modenkan melodi nasyid. Jangan sekadar buat program interfaith untuk makan-makan dan dialog sahaja. Buat kursus-kursus seperti FCR (Friendly Comparative Religions) yang melatih pendakwah baharu yang mampu berdialog dalam masyarakat multi budaya.

Jasa mereka dalam menerajui dakwah masyarakat majmuk harus dihayati oleh generasi pendakwah muda sekarang. Berdirilah atas bahu gergasi-gergasi ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!