Tekong darat raih habuan RM350 bagi seorang PATI

Kenderaan Toyota Alphard dipandu suspek yang ditahan kerana membawa sembilan PATI dalam kejadian di Rantau Panjang hari ini.
Kenderaan Toyota Alphard dipandu suspek yang ditahan kerana membawa sembilan PATI dalam kejadian di Rantau Panjang hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang tekong darat menerima upah sebanyak RM350 bagi setiap seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk secara haram ke negara ini menggunakan 'laluan tikus'.

Bagaimanapun, hasrat lelaki itu untuk meraih habuan RM3,150 bagi membawa sembilan PATI warga Thailand tidak kesampaian apabila dia dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pagi tadi.

Lelaki warga tempatan yang memandu kenderaan mewah jenis Toyota Alphard dengan membawa PATI tersebut bersamanya ditahan di Jalan Kampung Bagus di sini selepas cuba meloloskan diri sejurus menyedari pergerakannya itu dikesan anggota PGA.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 pagi tadi, sepasukan anggotanya yang sedang melakukan rondaan rutin terserempak sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan menghala ke Rantau Panjang.

"Anggota PGA kemudian cuba menahan kenderaan tersebut, namun pemandu Toyota Alphard tersebut terus memecut laju sebelum berhenti di Jalan Kampung Bagus," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, anggota PGA kemudian telah melakukan pemeriksaan sebelum menemui sembilan lelaki yang disyaki warga asing dalam kenderaan berkenaan.

"Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku menerima upah sebanyak RM350 untuk setiap seorang PATI yang dibawa.

"Suspek turut mengakui sembilan lelaki itu masuk ke negara ini dari Thailand menggunakan pangkalan haram Bilal Dollah. Mereka semua dalam perjalanan ke Selayang, Kuala Lumpur untuk bekerja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26(J) Atipsom 2012 dan Sek 6(1)(C) Imigresen 1959/63.