Ahmad Said pertikai individu pegang banyak jawatan

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan tindakan Kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, individu yang mempunyai rekod tidak baik dan pernah dipecat turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

“Saya berasa dukacita apabila individu yang tidak mempunyai rekod yang bagus di Kelantan dan pernah dipecat tetapi hari ini mendapat gaji RM800,000 setahun iaitu kira-kira RM67,000 sebulan dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah dan turut menjadi penasihat.

“Seorang warga England pula dilantik menjadi pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

“Itu masalahnya, sampai berbelas-belas bagai (jawatan). Tiada orang lainkah? Seorang pegang terlalu banyak syarikat. Hebat sangatkah dia? Mampukah tumpu kepada syarikat? Takkan tiada anak Terengganu yang berkemampuan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga mantan Menteri Besar Terengganu berkata, amalan melantik seorang individu memegang terlalu banyak syarikat tidak pernah dibuat semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

Menurutnya, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Terdahulu, semasa sesi perbahasan, Ahmad menegur pengurusan tadbir korporat kerajaan negeri kerana hampir kesemua lantikan lembaga pengarah melibatkan orang politik.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya harap ia dapat diperbetulkan dari semasa ke semasa,” katanya.