Pelaburan RM150 juta tidak dibincang dalam mesyuarat ALP

Bung Moktar (dua dari kiri) dan Zizie Ezette (kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Bung Moktar (dua dari kiri) dan Zizie Ezette (kiri) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ahli lembaga pengarah (ALP) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa pelaburan baharu berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat ALP sehingga diluluskan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Dr Habibah Suleiman, 72, berkata, keputusan Ahmad Husni yang meluluskan pelaburan sebanyak RM150 juta itu telah dimaklumkan di dalam mesyuarat ALP FELCRA pada Jun 2015.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad, yang juga seorang pelakon.

Ketika disoal mengenai jumlah pelaburan yang diketahuinya, Habibah berkata "Setahu saya hanya RM50 juta."

Ditanya siapa yang mempunyai keputusan muktamad tentang pelaburan baharu itu, saksi kelima pendakwaan tersebut berkata "Kalau diikutkan, segala keputusan perlu dibuat mengikut ahli lembaga pengarah FELCRA".

Semasa disoal balas peguam Datuk K.Kumaraendran, yang mewakili Zizie Ezette, sama ada Habibah bertanya mengenai pelaburan RM150 juta kepada Datuk Mohd Isa Hussain selaku wakil Kementerian Kewangan, saksi itu menjawab "Tidak.”

Kumaraendran: Kenapa tidak tanya Datuk Mohd Isa mengenai pelaburan RM150 juta itu?

Habibah: Saya rasa ini adalah keputusan Kementerian Kewangan dan tiada sesiapa pun daripada ahli lembaga pengarah yang bertanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa Mohd Isa selaku wakil Kementerian Kewangan mempunyai pengetahuan mengenai pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

“Ini kerana terdapat tandatangan Mohd Isa pada memo Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC)," katanya.

Bung Moktar, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga didakwa memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Bung Moktar didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari 19 Jun 2015 mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Rozina Ayob bersambung 12 Ogos ini. - Bernama