Kunjungan Aidiladha punca pertambahan Kluster Sivagangga, Kurau

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti kunjung mengunjung pada Aidiladha merupakan punca utama pertambahan kes Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif koronavirus (Covid-19) kedua-dua kluster tersebut kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga.

"Siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan kontak rapat mendapati penularan jangkitan Covid-19 dalam kedua-dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan," katanya ketika sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, aktiviti kunjung-mengunjung walaupun kini dibenarkan namun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Penjarakan fizikal yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk di antara ahli keluarga dan sanak saudara.

"Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan," kata beliau lagi.

Beliau berkata, tiga daripada enam kes penularan tempatan yang dilaporkan hari ini dikesan dari Kluster Kurau.

"Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini iaitu adik, biras dan anak saudaranya yang berumur dua tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, kes pertama ini mempunyai kontak rapat dengan kes baharu semasa aktiviti kunjung mengunjung menjelang Aidiladha pada 30 Julai lalu.

"Anak saudaranya (kes ke-9,093) menunjukkan gejala demam dan selesema sejak 30 Julai manakala adik dan birasnya tidak bergejala," katanya.

Menurutnya, kesemua pesakit dimasukkan ke Hospital Raha Permaisuri Bainun, Perak.

Setakat ini, 125 orang telah disaring dari Kluster Kurau.

"Lima disahkan positif, 112 negatif dan lapan masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Kluster Sivagangga merekodkan hari kedua tanpa kes baharu positif Covid-19.

"Seramai 5,227 individu telah disaring dan 45 disahkan positif Covid-19," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 kes baharu positif Covid-19 hari ini. Ia terdiri daripada enam penularan dalam negara dan lima kes import.

Ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 9,094 kes dengan 166 kes aktif. Sebanyak 19 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini sekaligus menjadi jumlah keseluruhannya 8,803 kes.