Polis Pulau Pinang lupus dadah RM15 juta

Sahabudin - Foto Bernama
Sahabudin - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM15 juta yang dirampas dan boleh digunakan oleh 1.97 juta penagih dadah membabitkan 11 kes di Pulau Pinang sejak tahun 2008 hingga 2018, dilupuskan hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, semua barang kes membabitkan 23 tangkapan itu telah selesai perbicaraan di mahkamah dan mendapat perintah untuk dilupuskan bagi mengelakkan tempat penyimpanan menjadi padat.

"Pelupusan hari ini membabitkan 472.75 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, kafein (263.93 kg), cecair bahan kimia (101,819 mililiter), bentonite iaitu bahan yang digunakan untuk menyembunyikan dadah sebanyak 13,000 kg dan 153 peralatan memproses serta menyimpan dadah.

"Daripada 23 orang yang ditahan itu, tiga telah dijatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati, seorang lagi dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan manakala selebihnya dibebas serta dilepaskan setelah perbicaraan penuh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Stor Berpusat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Semua barang kes dadah itu diserahkan wakil syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar dan ia dilupus menggunakan kemudahan terbaharu, iaitu loji penunuan yang menghasilkan tenaga baharu, teratur dan tidak menyebabkan berlaku pencemaran udara.

Sementara itu, Sahabudin berkata, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang telah menumpaskan empat sindiket makmal dadah, membongkar puluhan sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan terlarang tersebut bernilai RM7.7 juta.

Katanya, sepanjang tempoh sama, seramai 5,633 orang ditahan dan sebanyak 4,070 kertas siasatan dibuka membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan Akta Racun 1952.

"Antara dadah yang dirampas sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini ialah 460.31 kg pelbagai jenis dadah tradisional dan sintentik, pelbagai pil sebanyak 67,190 biji, daun ketum (530.65 kg), 5,895.6 liter cecair ketum dan kodein serta empat batang pokok ganja yang kesemuanya bernilai RM7.7 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan kira-kira 1.33 juta penagih dadah jika ia terlepas ke pasaran.

"Masalah penagih tegar dilihat sebagai cabaran dalam memastikan pengurangan terhadap permintaan dadah dan bagi menanganinya, JSJN Pulau Pinang telah mengambil tindakan menurut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mereka yang mempunyai dua rekod hukuman lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan rekod tahanan di pusat serenti.

"Menerusi Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, penagih tegar boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali. Sehingga Julai seramai 241 orang di negeri ini telah dikenakan tindakan menurut seksyen tersebut," katanya. - Bernama