Larangan ke kawasan TEMCO, majikan perlu beri kerjasama

Muhammad Sanusi (empat, kiri) menerima sumbangan daripada NGO untuk diagihkan ke kawasan terjejas. - Foto Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi (empat, kiri) menerima sumbangan daripada NGO untuk diagihkan ke kawasan terjejas. - Foto Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

KUBANG PASU - Kedah menguatkuasakan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) dengan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk ke kawasan terlibat dengan penularan koronavirus (Covid-19) Kluster Sivagangga.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bagi mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain yang belum terjejas di negeri ini dan ia termasuk pengecualian kepada pekerja yang bekerja di luar kawasan TEMCO.

“Sebelum ini ada kebenaran untuk individu keluar bekerja, tindakan ini kurang tepat memandangkan ia mendedahkan aktiviti penularan wabak ke kawasan lain. Mulai kini, pengecualian pekerja dikuatkuasakan serta merta dan mohon majikan berikan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Operasi Bantuan TEMCO di Pejabat Daerah Kubang Pasu hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, surat kelonggaran itu dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan pekerja boleh mendapatkannya di Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Daerah Kubang Pasu untuk diserahkan kepada majikan.

“Kita harap pekerja di kawasan TEMCO tidak dikenakan tindakan seperti pemotongan gaji atau dipecat atas ketidakhadiran mereka ke tempat kerja. Semua pihak harus faham situasi yang kita hadapi untuk kebaikan semua,” katanya.

Menurutnya, arahan itu berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Ogos ini.

“Kedah tidak merekodkan kes positif baharu dalam dua hari lepas, saya harap semua bantu kekalkan status ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak sewenang-wenangnya memasuki kawasan TEMCO untuk mengagihkan bantuan kepada penduduk terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Kita terima banyak sumbangan dari NGO dan saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka, namun ingin saya ingatkan supaya semua bantuan dikumpulkan di Pusat Operasi Bantuan TEMCO di Pejabat Daerah Kubang Pasu untuk diselaraskan,” kata beliau lagi.

Menurutnya, ia untuk keselamatan semua pihak dalam memastikan penularan wabak dapat dibendung sebaik mungkin.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kesemua 3,400 penduduk di Mukim Ah, Binjal dan Napoh telah selasai menjalani ujian saringan dan menerima bantuan makanan masing-masing.

“Hanya ketua keluarga yang memakai gelang putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenar keluar menerima bantuan dan membeli barangan keperluan. Pemakai gelang pink mohon kekal di rumah,” katanya.

Mengulas mengenai desakan berhubung membatalkan lesen perniagaan pengusaha nasi kandar Napoh yang menjadi punca penularan kes PUI Kluster Sivagangga, katanya, ia telah diambil tindakan.

“Kedai makan berkenaan sudah diarah tutup, dan akan disusuli dengan tindakan lain yang berkaitan,” katanya.