UAI tidak pernah mohon tauliah mengajar agama

 Mohd Nor. Gambar kecil: Azhar
Mohd Nor. Gambar kecil: Azhar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pentauliahan mengajar agama di Terengganu.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, sebarang aktiviti termasuk ceramah di surau dan masjid yang dijayakan pendakwah itu selama ini merupakan kebenaran sementara yang dipohon pihak penganjur.

"Maksudnya di sini ialah permohonan untuk mengajar secara berterusan yang mana ia perlu dibuat terus kepada pihak yang menguruskan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) atau Mufti Terengganu yang jadi penemuduga.

"Secara umum, kita tidak pernah keluarkan tauliah kepada beliau. Sesiapa sahaja termasuk Ustaz Azhar Idrus boleh memohon dan kelulusan akan diberikan dengan mengikut enakmen sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mohd Nor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pendakwah berkenaan yang dikatakan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, walaupun pentauliahan tidak diberikan, mana-mana individu termasuk Ustaz Azhar boleh membuat permohonan untuk memberi ceramah sama ada di masjid, surau atau program-program tertentu.

Malah, katanya, kerajaan negeri tiada halangan untuk Ustaz Azhar memberikan ceramah kerana ia berasaskan permohonan dari semasa ke semasa bergantung kepada pihak yang menganjurkan program atau menguruskan masjid.

"Sebenarnya, ia (pentauliahan) telah ditetapkan dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) di bawah autoriti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menentukan polisi dan ketetapannya.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri tidak akan campur tangan bidang kuasa yang telah ditetapkan dalam enakmen berasaskan autoriti dan undang-undang masing-masing. Sebaliknya, kita hanya boleh menyarankan perbincangan dan cadangan kepada pihak yang berautoriti untuk tindakan sewajarnya.

"Selagi tiada isu penyelewengan atau mencetuskan perpecahan dalam masyarakat, sesiapa sahaja boleh buat permohonan termasuk Ustaz Azhar," katanya.