Pasar Taman Molek akan dibaik pulih

Cai Tung (dua,kanan) ketika bertemu peniaga di pasar berkenaan, hari ini.
Cai Tung (dua,kanan) ketika bertemu peniaga di pasar berkenaan, hari ini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Projek membaik pulih kemudahan di Pasar Taman Molek mengambil masa selama tiga minggu bermula 10 Februari ini.

Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, penambahbaikan tersebut akan membabitkan pertukaran bumbung, penyelenggaraan tandas, tangki septik dan pagar infrastruktur itu.

Menurutnya, sepanjang operasi membaik pulih dilakukan, pasar tersebut akan ditutup sementara bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

"Kerja-kerja ini akan dijalankan di Pasar Taman Molek selama tiga minggu, dengan ini kami memohon jasa baik penduduk tempatan dan juga peniaga terlibat untuk memberi kerjasama kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta kontraktor terlibat.

"Dalam tempoh yang ditetapkan ini juga Ahli Majlis Zon Taman Molek akan sentiasa memantau projek ini, kita mahu ia berjalan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Liow Cai Tung berkata, tempoh tiga minggu tersebut hanyalah jangka masa maksima dan sekiranya projek diselesaikan dengan lebih cepat para peniaga boleh kembali menjalankan operasi mereka.

Berhubung kos yang diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih itu, beliau berkata, sebarang kerja penambahbaikan akan dilaksanakan kontraktor telah dilantik yang mana perbelanjaan digunakan akan dikira dalam kos keseluruhan.

"Bukan tiada kos, tetapi mereka ini (kontraktor dilantik) memang jaga Pasar Taman Molek, mereka kontrak selama dua tahun, jadi apa jua kerja baik pulih akan dimasukkan dalam kos keseluruhan.

"Kita masih belum dapat anggaran tepat sebab dalam dua tahun ini, sekiranya ada apa yang perlu dibaik pulih mereka akan datang lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peniaga pasar berkenaan, Aziz Musbah, 55, berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan inisiatif lain untuk para peniaga meneruskan perniagaan dalam tempoh tiga minggu tersebut.

"Kita harap kerajaan dan MBJB ada cara lain untuk membolehkan peniaga teruskan operasi. Macam saya jual santan dan kelapa boleh uruskan pesanan dan hantar cuma rakan-rakan yang jual bahan basah.

"Tetapi, kami faham ini untuk kemudahan dan keselamatan semua, bagus lah ada penambahbaikan di sini," katanya.