X

Kindly register in order to view this article
!

SPR teliti cadangan pilihan raya berdasarkan lambang parti

Takiyuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu terlebih dahulu meneliti cadangan menetapkan pertandingan dalam pilihan raya di negara ini dilakukan berdasarkan lambang parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana ia melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang bukan sahaja Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) tetapi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"SPR sentiasa terbuka untuk menerima cadangan-cadangan penambahbaikan daripada pelbagai pihak termasuklah cadangan Yang Berhormat Padang Rengas tersebut. Cadangan ini membawa maksud menukar sistem pilihan raya yang sedang diguna pakai di Malaysia.

"Oleh itu, cadangan ini memerlukan kajian lanjut oleh pihak SPR memandangkan ia melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya pertandingan dalam pilihan raya dilakukan berdasarkan lambang parti bagi menghentikan budaya lompat parti.

Mohamed Nazri sebelum ini dilaporkan berkata, sistem Westminster yang juga sebuah sistem Parlimen kerajaan demokratik dimodelkan mengikut acuan kerajaan British perlu dipinda dengan tidak menamakan individu sebagai calon parti, sebaliknya menampilkan lambang parti pada kerusi dipertandingkan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Takiyuddin turut memberitahu lompat parti bukan satu kesalahan.

Ini kerana, katanya, setiap warganegara masih dijamin hak untuk bebas berpersatuan yang selaras dengan Perkara 10 (1) (C) Perlembagaan Persekutuan.

"Hak untuk bebas berpersatuan ini telah dibincangkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin bin Salleh & Anor (1992) 1 CLJ 343.

"Bagaimanapun, sekiranya kerajaan berpandangan terdapat keperluan untuk menggubal undang-undang lompat parti ini pada masa akan datang, sudah pasti kajian terperinci akan dilakukan termasuklah dengan mengadakan perbandingan 'best practices' dengan negara-negara lain," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!