Hafizh Syahrin bersyukur tamatkan perlumbaan

Hafiz Syahrin - Foto Inde Aspar Team Moto2
Hafiz Syahrin - Foto Inde Aspar Team Moto2
A
A
A

PELUMBA Inde Aspar Team Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah bersyukur kerana berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, pada kedudukan kesembilan, kelmarin, di sebalik penggunaan enjin yang berbeza pada jenteranya.

Hafizh berkata, penggunaan enjin berkenaan membuatkannya bergelut seketika pada peringkat awal perlumbaan apatah lagi setelah memulakan perlumbaan dengan tidak begitu baik kelmarin.

Bagaimanapun menurut Hafizh, dia tetap bersyukur kerana masih mampu menamatkan perlumbaan berkenaan di sebalik penggunaan enjin yang berbeza kali ini.

“Walaupun saya agak bergelut pada awal perlumbaan, tetapi syukur alhamdulillah, saya berjaya menamatkan perlumbaan ini pada kedudukan kesembilan. Bagaimanapun, perlumbaan tadi agak kurang baik bagi saya sebab permulaan agak tak begitu cantik disebabkan enjin yang digunakan, saya tidak berada pada tahap optimum.

"Berdasarkan kepada pace (kelajuan) saya tadi, saya yakin untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima pelumba terbaik, namun amaran kemalangan pada jentera saya membuatkan saya sukar untuk mengejar kelompok pelumba di hadapan.

“Apa pun, pasukan saya sudah buat yang terbaik dari segi ‘mapping’ dan sebagainya, untuk membantu saya pada perlumbaan kali ini," katanya.

Untuk rekod, selepas empat perlumbaan setakat ini, Hafizh Syahrin meraih 17 mata dan berada pada kedudukan ke-14 daripada 31 pelumba bagi siri Kejohanan Dunia.

Seorang lagi pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin yang mewakili pasukan Onexox TKKR SAG Team bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas pada selekoh ke-10 pusingan kelima perlumbaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pelumba Itali, Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team meraih kemenangan podium ketiga pada musim ini menerusi catatan masa 39 minit 13.926 saat, disusuli pelumba Great Britain, Sam Lowes daripada EG 0.0 Marc VDS dan pelumba Tennor American Racing, Joe Roberts dari Amerika Syarikat yang ketinggalan 0.423 saat dan 5.948 saat masing-masing di belakang Bastianini.

Pusingan perlumbaan seterusnya adalah GP Austria yang dijadual berlangsung di Litar Red Bull Ring, Spielberg, Austria dari 14 hingga 16 Ogos ini.