Jawatan pengerusi Bersatu mungkin dilupuskan

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan akan meminda Perlembagaan parti itu termasuk melupuskan jawatan pengerusi yang sebelum ini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, penelitian semula itu akan dilakukan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, langkah itu boleh dilakukan selari dengan usaha untuk memperkasakan lagi parti berkenaan.

"Kita tahu masalah, kalau kita ada satu kapal dengan dua nakhoda, inilah yang kita hadapi.

"Kalau perlu (pinda), Insya-ALLAH dalam mesyuarat agung khas atau bila-bila masa dengan memanggil mesyuarat.

"Kita dah nampak masalah dia, must be one caption in one ship, (akan) dilupuskan jawatan itu," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Katanya, parti yang diasaskan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu menjemput Dr Mahathir sebagai ahli.

"Pun begitu beliau (Dr Mahathir) mahu menjadi penasihat.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi berdasarkan hemat sebagai seorang pemimpin tertinggi, saya sebagai (antara) pengasas parti, memberi laluan kepada negarawan (dengan) memasukkan satu jawatan baharu dalam Perlembagaan yang dipanggil pengerusi," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan pembubaran bahagian dalam parti itu ekoran 'penghijrahan' ke parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri itu, Mohd Redzuan berkata, beliau tidak gentar atau sedih dengan tindakan itu.

Beliau sebaliknya berkata, tindakan itu hanya akan menguatkan lagi parti Bersatu itu dan ketika ini tiada mana-mana bahagian yang terbubar.

Katanya, sekiranya ahli jawatankuasa (AJK) parti itu keluar atau dihentikan, maka mengikut Perlembagaan parti, Majlis Tertinggi akan melakukan pelantikan baharu untuk menggantikan jawatan itu.