Saran Kementerian Kesihatan labur tambah baik infrastruktur kesihatan

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memuji inisiatif kerajaan baharu melancarkan skim insurans B40 yang dinamakan sebagai mySalam dalam menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sangat diperlukan, meringankan beban kos sara hidup dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, skim insurans ini tidak sepenuhnya selari dengan prinsip-prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Piagam WHO 1948 mengisytiharkan kesihatan sebagai hak asasi manusia yang menggarap tiga matlamat utama yang berkaitan dengannya iaitu kesamarataan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mana setiap orang yang memerlukan perkhidmatan harus memperolehinya, bukan hanya mereka yang mampu membayarnya.

"Selain itu, kualiti perkhidmatan kesihatan hendaklah berada dalam keadaan yang cukup baik agar dapat menambah baik tahap kesihatan mereka yang menerima perkhidmatan tersebut.

"Rakyat hendaklah dilindungi daripada risiko kewangan, dengan memastikan kos menggunakan perkhidmatan tersebut tidak akan mendedahkan rakyat kepada risiko kewangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, berdasarkan prinsip-prinsip ini, mySalam tidak inklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40.

"Bagaimana dengan mereka dari kelompok M40 yang turut berhadapan dengan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan?

"Menurut Laporan Financial Stability and Payment Systems 2017 oleh Bank Negara Malaysia, 3.9 juta golongan dewasa bekerja dari kelompok Bukan-B40 tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Kadar pemilikan insurans seluruh negara dalam kalangan Bukan-B40 hanyalah sekitar 56 peratus," katanya.

Beliau berkata, jadi, adakah ini bermakna yang kerajaan hari ini mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mySalam.

"Sudah pasti golongan M40 akan sangat terkesan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dan sebarang perlindungan kesihatan yang diterima dari majikan selama ini.

"Mereka yang bekerja sendiri tidak mempunyai perlindungan daripada risiko kewangan akibat kos perubatan yang tinggi, sekaligus menggandakan kesan yang diterima terutamanya semasa kegawatan ekonomi.

"Banyak pihak dan pemegang taruh telah menyuarakan pandangan bahawa skim insurans yang mensasarkan kepada sesetengah kelompok sahaja mungkin tidak akan bertahan dalam tempoh jangka masa panjang," katanya.

Ujarnya lagi, malah, skim ini dipadankan juga dengan beberapa peruntukan yang mungkin akan lebih meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan.

"Di peringkat makro, persoalan timbul. Mengapa kerajaan beralih dari tanggungjawab asasnya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sebaliknya memfokuskan kepada memberikan skim insurans?

"Seperti yang ditegaskan oleh WHO, kualiti perkhidmatan kesihatan adalah sama pentingnya dengan akses kepada perkhidmatan ini.

"Oleh itu, saya menyarankan kepada Kementerian Kesihatan untuk lebih memfokuskan kepada pelaburan yang akan menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang seterusnya akan membawa lebih banyak manfaat langsung dan tidak langsung.

"Kita memerlukan hospital-hospital yang boleh meningkatkan nilai penjagaan kesihatan dan memberikan kesan yang lebih baik, tanpa mengira tahap pendapatan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia