Hishammuddin sudah jelaskan denda hisap vape

Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan beliau sudah membayar denda susulan video beliau sedang menghisap 'vape' di dalam Dewan Rakyat menjadi tular sebelum ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau sudah dikenakan kompaun terhadap kesalahan itu dan tidak bermasalah untuk melunaskan denda dikenakan.

"Sebagaimana saya maklum sebelum ini, perbuatan salah tetap merupakan perbuatan salah.

"Saya sudah mengaku salah dan meminta maaf kepada semua pihak," katanya bagi menjawab isu itu yang dibangkitkan Wong Shu Qi (PH-Kluang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hishammuddin menjawab pencelahan Shu Qi sewaktu ucapan perbahasan Titah Diraja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Shu Qi menegaskan beliau membangkitkan perkara itu minggu lalu di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 41 (d) yang menjelaskan bahawa seorang ahli Parlimen tidak dibenarkan merokok di dalam Dewan Rakyat sewaktu persidangan berlangsung.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya mengambil maklum Hishammuddin telah meminta maaf di atas tindakannya itu dan menggesa Mohd Redzuan meneruskan perbahasan.

Bermula Januari tahun ini, mereka yang didapati bersalah merokok di kawasan terlarang, termasuk tempat makan, akan dikenakan kompaun RM250.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan, mereka boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.