MBSA hargai peranan komuniti pelihara alam sekitar

Para pemenang merakamkan gambar bersama selepas majlis tersebut.
Para pemenang merakamkan gambar bersama selepas majlis tersebut.
A
A
A
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Majlis Apresiasi Alam Sekitar 2018 sebagai salah satu platform untuk menyemarakkan semangat seluruh masyarakat bagi bersama-sama memainkan peranan mereka dalam memelihara alam sekitar.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pada tahun lalu, pihaknya menganjurkan beberapa program bagi mempromosikan amalan kitar semula dengan melibatkan 32 penyertaan pelbagai pihak antaranya Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), agensi kerajaan dan sektor perhotelan.

Beliau berkata, program-program ini dilaksanakan dalam bentuk pertandingan mengikut kategori yang ditetapkan iaitu Kategori Kitar Semula Peringkat Wisma MBSA, Kitar Semula Minyak Masak Terpakai Peringkat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Kitar Semula Peringkat Agensi Kerajaan dan Kitar Semula Peringkat Hotel.

"Majlis Apresiasi Alam Sekitar 2018 ini bertujuan untuk menghargai penglibatan komuniti serta agensi yang telah bersama-sama dengan pihak MBSA dalam melaksanakan program kitar semula.

"Program ini juga merupakan inisiatif pihak kami untuk mempromosikan amalan kitar semula kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan dihadiri ahli-ahli majlis serta Pengarah Jabatan MBSA.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, sebagai penghargaan kepada kontraktor kutipan dan pembersihan awam di bawah pentadbiran MBSA, pihaknya juga turut menganjurkan pertandingan bagi memilih kontraktor terbaik mengikut kategori kerja masing-masing.

Beliau berkata, sejumlah 230 syarikat kontraktor kutipan dan pembersihan awam telah disenarai pendek untuk dinilai bagi memastikan pihak terlibat menunjukkan prestasi dan perkhidmatan terbaik.

"Pemilihan kontraktor terbaik adalah mengikut kategori kerja masing-masing seperti kategori Kontraktor Pembersihan Terbaik, Kontraktor Pembersihan Kawasan Terbaik, Kontraktor Kutipan Sisa Domestik Terbaik dan Kontraktor Pembersihan Gerai Terbaik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hospital Shah Alam telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kitar Semula Tahun 2018 MBSA bagi kategori agensi kerajaan dengan mengumpul sebanyak 3,230 kilogram (kg) barangan kitar semula.

Tempat kedua pula telah dimenangi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) dengan mengumpul 1,986 kg barangan kitar semula manakala tempat ketiga diraih oleh Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR) dengan 575 kg barangan kitar semula.

Bagi Kategori Kitar Semula Minyak Masak Peringkat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), tempat pertama berjaya diraih oleh Persatuan Penduduk Seri Nevilla dari MPP Zon 12 dengan mengumpul sebanyak 3030 kg barangan kitar semua.