X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada lagi kes mahkamah antara Sarawak, Petronas

Tiada lagi sebarang kes mahkamah antara kerajaan Sarawak dan Petronas.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sepakat menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berkaitan kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Taib berkata, Petronas telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dalam semakan penghakiman isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST pada 3 Ogos lalu.

Susulan itu juga katanya, kerajaan Sarawak menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai perkara itu.

"Dengan ini keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan dengan penarikan balik rayuan.

"Ini bermakna Petronas tidak boleh mempersoalkan kuasa Sarawak untuk mengenakan SST ke atas produk petroleum," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (BN- Batang Lupar) mengenai status kes-kes mahkamah berkenaan tuntutan yang dibuat Sarawak terhadap Petronas.

Sehubungan itu, Hanifah memaklumkan tiada lagi sebarang kes mahkamah antara kerajaan Sarawak dan Petronas.

Katanya, ia disusuli dengan pendaftaran tujuh buah syarikat disubsidi Petronas sebagai layak mendapat cukai di bawah undang-undang SST.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azhahari Kamal Ramli berkata, peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!