Ahli Parlimen lawat kawasan TEMCO perlu jalani ujian Covid-19

Petugas Parlimen menunjukkan cara menarik dan membetulkan pengadang lutsinar yang dipasang di Dewan Rakyat.
Petugas Parlimen menunjukkan cara menarik dan membetulkan pengadang lutsinar yang dipasang di Dewan Rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang mengunjungi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) atau kawasan terlibat dengan penularan Kluster Sivagangga diminta menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, arahan terbaharu itu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga selain memastikan Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung sehingga 27 Ogos ini berjalan lancar.

Menurutnya, selain ahli Parlimen, tiga lagi kumpulan lain yang perlu menjalani ujian ialah mereka yang bergejala, individu yang dalam pemantauan dan yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif.

"Saya tahu yang berhormat pulang ke kawasan masing-masing, sesiapa di dalam kawasan yang diumumkan sebagi TEMCO, semi TEMCO dan lokal RMCO.

"Mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka perlu melakukan ujian sebelum datang semula ke dewan.

"Saya minta semua memberi penekanan terhadap semua ahli Parlimen yang berkenaan (mengunjungi kawasan terlibat)," katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Azhar turut mengingatkan semua ahli Parlimen bahawa pemakaian pelitup muka diwajibkan sepanjang berada di Dewan Rakyat dan hanya dibuka ketika berucap,.

Terdahulu, Azhar turut memaklumkan pengadang lut sinar telah dipasang sepenuhnya di antara tempat duduk ahli Parlimen sekali gus membolehkan semua kembali duduk di blok utama dewan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemasangan itu bertujuan mewujudkan jarak pemisah untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Sehubungan dengan itu saya berharap pemasangan pengadang lut sinar dapat menyelesaikan masalah berkaitan tempat duduk ahli Parlimen semua," katanya.