Lembu sado: Tauliah 104 jurusuntik permanian beradas

Che Abdullah (tengah) melihat lembu baka Limousin seberat 500 kilogram yang dipelihara Azhar (kiri) di ladangnya dekat Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.
Che Abdullah (tengah) melihat lembu baka Limousin seberat 500 kilogram yang dipelihara Azhar (kiri) di ladangnya dekat Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi tauliah kepada seramai 104 jurusuntik permanian beradas bagi induk lembu ‘sado’ di seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usaha permanian berhadas melibatkan lembu daripada baka terpilih seperti Charolais, Limousin, Belgium Blue dan Bali.

Menurutnya, langkah melahirkan jurusuntik permanian beradas berkemahiran itu bertujuan meningkatkan kualiti dan hasil penternakan lembu ‘sado’ serta membantu perkembangan industri ternakan lembu pedaging di Malaysia.

“Jurusuntik terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan penternak yang berkebolehan mengesan tempoh lembu mengawan serta mengetahui selok-belok mengendalikan haiwan ternakan tersebut.

“Mereka ditauliahkan selepas diberi kursus, latihan dan khidmat nasihat kepakaran berkaitan proses menyuntik benih ke induk betina,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke projek penternakan ruminan milik Azhar Che Abdullah, 49, di Selinak Farm dekat Pengkalan Chepa di sini semalam.

Kambing jenis boer turut dipelihara oleh Azhar dalam kandang yang dibina di ladang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Kambing jenis boer turut dipelihara oleh Azhar dalam kandang yang dibina di ladang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Che Abdullah berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, Kelantan merekodkan bilangan jurusuntik paling ramai iaitu 65 individu termasuk seorang penternak wanita.

Menurutnya, mereka akan menjalankan perkhidmatan permanian beradas ke atas 19,000 induk lembu pedaging di Kelantan, manakala JPV menyediakan bantuan peralatan proses, hormon pembiakan dan benih ternakan.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan proses sunti-kan permanian beradas daripada penternak meningkat setiap tahun dan kemajuan ini dijangka menyumbang kepada pertambahan lembu kacukan berkualiti sehingga 30,000 lembu ‘sado’ dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau mahu penternak meningkatkan manfaat sistem penternakan integrasi iaitu gabungan aktiviti penternakan bersama penanaman tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa, koko atau buah-buahan.

“Ia dapat mengoptimumkan penggunaan tanah untuk teduhan dan ragutan serta sumber rumput sebagai makanan ternakan, meningkatkan pengeluaran daging ternakan dan pertambahan hasil pendapatan kepada penternak.

“Di Kelantan, sebanyak 283 ladang menggunakan sistem integrasi dengan jumlah 14,877 ternakan,” kata beliau.