Kaitan otak dan roh

A
A
A

Profesor Dr Zamzuri Idris ialah Pakar Bedah Otak (Neurosurgeri) di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak tahun 2005. Pada tahun 2007, beliau menerima anugerah sebagai Felo Neuroendoscopy dan Functional Neurosurgery di Ghent University, Belgium. Beliau banyak menulis untuk jurnal dan buku ilmiah yang berkaitan dengan saraf dan otak.

Menurut Dr Zamzuri, hidup itu berhayat dan hayat itu hidup. Roh pula adalah pemberi hayat, maka roh itu ialah kehidupan. Menurutnya, kematian otak juga berkaitan dengan terpisahnya roh daripada jasad. Jasad bergantung pada roh tetapi roh tidak bergantung pada jasad. Maka, otak dan roh amat berkait rapat.

Otak manusia berada pada tempat yang paling atas dan dilitupi dengan lapisan kulit, tulang, dura, arachnoid dan pia. Terdapat lubang tertentu pada tulang untuk membenarkan sambungan antara otak dan saraf tunjang, saraf dan salur darah.

Otak juga dikelilingi cecair otak yang dipanggil cerebrospinal fluid (CSF). Dengan adanya lapisan-lapisan dan cecair tersebut, otak dilihat sebagai organ yang istimewa dan mesti dilindungi daripada perkara luaran.

Bila diteliti, bahagian tengah otak membengkok menjadikan bentuknya seperti posisi sujud. Posisi ini dikenali sebagai posisi mikrograviti. Menurut prinsip Archimedes, posisi ini disebabkan oleh apungan otak yang menyebabkan kurangnya kesan graviti. Perihal apungan itu terjadi semasa proses pembentukan otak atau janin lagi.

Pada awal proses pembentukan janin, cecair dalam rahim ibu sudah pun wujud dan memberi kesan apungan kepada sel-sel asas yang berbentuk satu tiub. Oleh itu, tiub ini juga berada dalam posisi sujud atau posisi mikrograviti.

Penelitian menunjukkan selain sebagai pusat atau kawasan yang menjana gelombang otak, bahagian otak juga terlibat dengan pelbagai fungsi jasad dan mempunyai kaitan dengan keadaan koma serta ingatan. Ia mempunyai setidak-tidaknya satu nod atau kawasan kecil yang membentuk pelbagai jaringan fungsi otak dan jasad. Oleh itu, bahagian otak dilihat sebagai kawasan yang teramat penting. Sekiranya ia tercedera, seseorang itu akan mengalami masalah hilang ingatan atau hilang kesedaran.

Otak dan roh bertaut dengan ingatan, zikir dan juga solat. Oleh itu, kawasan ini yang dikenali sebagai greater limbic system berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan pusat roh bagi jasad manusia.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini telah dibahaskan sejak dahulu lagi; Plato dan Leonardo Da Vinci mengaitkannya dengan kawasan greater limbic system, manakala Aristotle mengaitkannya dengan jantung.

Istilah pusat roh di sini, sepertimana dibahaskan sebelum ini, merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan hidup dan mati.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Zamzuri mengesahkan bahawa ilmu sains dan ilmu agama adalah selari. Menurut beliau lagi, ilmu berkenaan roh tidak banyak tetapi yang sedikit itu ibarat emas yang boleh memberi banyak kefahaman tentang kehidupan.

Sepertimana firman ALLAH dalam surah Al-Isra’ ayat 85 yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan, Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

Kematian bermakna roh terpisah daripada jasad sepenuhnya dan dibawa ke tempat yang hanya diketahui ALLAH SWT. Ketika otak berhenti berfungsi dan jantung berhenti berdenyut, bermakna telah keluarlah roh daripada jasad seseorang.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pengimejan Kraniofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan