Dua strategi halang lompat parti

No Image Caption
A
A
A

SISTEM demokrasi berperwakilan ala Westminster memperlihatkan sesebuah kerajaan boleh tumbang dan hilang kuasa apabila Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan hilang sokongan majoriti mengikut pengiraan jumlah kerusi di dalam dewan perwakilan.

Perkara ini yang cuba diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hasrat Dr Mahathir itu bagaimanapun tidak kesampaian.

Di bawah amalan demokrasi berperwakilan di negara kita, sesebuah kerajaan juga boleh tumbang akibat perbuatan lompat parti oleh segelintir wakil rakyat yang, atas tujuan politik dan kepentingan peribadi, berpaling tadah bertindak keluar parti asal secara mengejut dan mengalih sokongan kepada parti lawan.

Kerajaan akan jatuh kerana kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli dewan perwakilan. Senario ini yang sekarang berlaku di negeri Sabah. Kerajaan parti Warisan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal telah cuba dijatuhkan melalui tindakan lompat parti oleh beberapa ADUN kerajaan yang bertindak menyokong parti pimpinan Tan Sri Musa Aman.

Akibatnya, pada 31 Julai 2020, DUN Sabah dibubarkan untuk menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat Sabah menentukan sebuah kerajaan yang baharu.

Umum menganggap tindakan lompat parti untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah sebagai tidak beretika. Tetapi hakikatnya, perbuatan itu tidak melanggar mana-mana undang-undang atau akta pilihan raya yang diguna pakai di negara kita. Malah, perbuatan lompat parti juga tidak bercangah dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana perlembagaan negeri. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas memberi hak dan kebebasan kepada rakyat untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Walaupun perbuatan lompat parti dibenarkan undang-undang dan tidak bercanggah prinsip kebebasan di bawah amalan demokrasi berperwakilan, hakikatnya tindakan itu tetap menjejaskan kestabilan politik negara dan membantutkan pemerintahan sebuah kerajaan yang menjadi sasaran akibat tindakan itu. Seperti yang berlaku di Sabah apabila DUN dibubarkan di luar jangka, SPR terpaksa membelanjakan lebih RM100 juta wang rakyat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam suasana Covid-19 sekarang, rakyat Sabah juga berdepan dengan risiko jangkitan pandemik yang sangat berbahaya kepada keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagi menangani kemelut pertukaran kerajaan akibat kerenah politik oleh wakil rakyat yang bertukar parti atas tujuan politik dan peribadi yang berterusan berlaku di negara ini, masalah tersebut boleh ditangani oleh kerajaan. Jika perbuatan lompat parti berjaya dibendung, ini menjamin kestabilan politik, kelancaran program ekonomi dan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Saya berpandangan masanya sudah tiba untuk kerajaan dan SPR membuat pindaan dan tambahan kepada undang-undang pilihan raya iaitu Peraturan-peraturan Penjalanan Pilihan Raya 1998.

Pindaan berkaitan yang perlu dibuat adalah untuk memasukkan satu peraturan baharu bagi menetapkan bahawa mana-mana wakil rakyat yang lompat parti iaitu mengisytiharkan keluar daripada parti asal yang dia bertanding dalam pilihan raya, di mana dia dipilih maka statusnya bertukar menjadi ahli Bebas (sama ada dalam DUN atau Dewan Rakyat).

Kerusi bagi kawasan pilihan raya dia bertanding mewakili partinya (DUN atau Parlimen) akan kekal menjadi milik parti sehingga pembubaran DUN/Parlimen berlaku. Dalam tempoh ketiadaan wakil rakyat dalam penggal tersebut, adalah menjadi tanggungjawab parti untuk menjaga kawasan dan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dalam kawasan berkenaan.

Untuk tindakan ke arah itu, ia tidak melibatkan pindaan kepada perlembagaan baik Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri. Perkara 46, 47, 48, dan 54(1) dalam Perlembagaan Persekutuan kekal seperti sedia ada. Ia hanya memerlukan kemasukan satu peraturan baharu dalam Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1998, untuk memasuki dua peraturan baharu yang utama, iaitu pertama, wakil rakyat yang melompat parti akan bertukar status menjadi ahli Bebas dan tidak lagi mewakili kawasan yang mana dia dicalon oleh parti asalnya.

Kepentingan

Kerusi dan kawasan pilihan raya berkenaan akan menjadi milik parti, yang akan bertanggungjawab menjaga kepentingan pengundi dalam bahagian berkenaan. Dengan kemasukan peraturan tersebut, tindakan wakil rakyat melompat parti tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan yang memerintah. Sekali gus dengan pindaan tambahan cadangan peraturan baharu itu ia dijangka dapat meredakan kerenah wakil rakyat bertukar parti untuk memberi sokongan kepada parti lawan dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Kedua, memasukkan pindaan bagi menghalang mereka yang lompat parti daripada kelayakan hak untuk terlibat dalam apa-apa pengundian terhadap usul undi tidak percaya di dalam Dewan yang dikemukakan oleh wakil parti lawan yang mahu menjatuhkan kerajaan berkenaan.

Apa pun, hak mengundi wakil berkenaan terhadap apa-apa usul atau perkara lain yang berbangkit di dalam Dewan tidak terhalang. Dia bebas untuk bercakap dan memberi undinya terhadap apa sahaja usul atau perkara mengikut pilihannya.

Dengan kemasukan peraturan tambahan yang baharu itu sekali gus menjadikan tindakan melompat parti oleh wakil rakyat yang mengalihkan sokongan kepada parti lawan tidak memberi apa-apa keuntungan kepada parti lawan untuk menambah bilangan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan.

Hakikat berpolitik di bawah sistem demokrasi perwakilan bersandarkan prinsip pertandingan melibatkan pelbagai parti dalam pilihan raya ialah kerajaan ditubuhkan atas dokongan parti (atau gabungan parti-parti) yang menang dalam pilihan raya. Sewajarnya kerusi kawasan yang dimenangi oleh calon parti itu kekal menjadi milik parti.

Dengan kemasukan dua klausa peraturan tambahan tersebut dalam undang-undang pilihan raya, sekurang-kurangnya sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak beretika akan dapat dibendung.

Tanpa dua peraturan tersebut, wakil rakyat dengan mudah boleh berpaling tadah ‘menjual prinsip dan kebebasan demokrasi’ untuk tujuan politik dan kepentingan diri. Sekali gus masalah lompat parti diharap tidak lagi menjadi punca pertukaran kerajaan yang menjejaskan kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.

* Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar ialah mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya