Xavi gagal tepati sasaran 10 pelumba terbaik

Xavi Vierge gagal menepati sasaran untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno dalam kelompok 10 pelumba terbaik. - Foto Google
Xavi Vierge gagal menepati sasaran untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno dalam kelompok 10 pelumba terbaik. - Foto Google
A
A
A

PELUMBA Moto2 Petronas Yamaha SRT, Xavi Vierge gagal menepati sasaran untuk menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno dalam kelompok 10 pelumba terbaik apabila sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-12 semalam.

Vierge berkata, biarpun cuba untuk bersaing dengan kelompok pelumba di petak hadapan, namun dia gagal mengekalkan momentum untuk terus berada bersama pelumba-pelumba berkenaan.

"Saya gagal mengekalkan rentak untuk terus bersaing bersama pelumba-pelumba berkenaan dan akhirnya saya hanya mampu menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-12.

"Apa pun terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras selama ini. Perkara seperti ini pernah berlaku pada GP Qatar tahun lalu di mana kami begitu yakin untuk menang.

"Apa pun, paling penting di sini adalah kami berjaya mengumpul mata untuk perlumbaan kali ini," katanya.

Sementara itu seorang lagi pelumba Moto2 Petronas Yamaha SRT, Jake Dixon yang gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami kerosakan brek.

Katanya, kerosakan itu membuatkannya banyak membuang masa hingga ketinggalan jauh dengan pelumba-pelumba lain.

"Tiada apa yang dapat saya lakukan dan saya rasakan saya telah menggagalkan diri saya, saya telah menggagalkan pasukan saya.

Artikel Berkaitan:

"Kini saya dan pasukan akan melihat dan merancang apa yang boleh kami lakukan pada perlumbaan seterusnya di Austria, minggu depan," katanya.

Untuk rekod setelah tiga perlumbaan, Xavi berada pada kedudukan kesembilan Kejuaraan Dunia dengan mengumpul 21 mata manakala rakan sepasukannya, Jake Dixon sekadar meraih dua mata pada kedudukan ke-22.