X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan digalak mencarum SKSPS

Ronald menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM12.4 juta kepada Persatuan Nelayan Perak di sini hari ini.
A
A

BUKIT GANTANG - Seramai 42,000 nelayan yang berdaftar di seluruh Malaysia digalakkan supaya mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah terbaharu itu adalah untuk menggantikan Caruman Insurans Nelayan Berkelompok Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bermula pada 15 Ogos ini.

“Pertama kali pekerja sendiri dalam sektor perikanan boleh mencarum mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Nelayan yang mencarum dapat memberi perlindungan dan kebajikan kepada mereka serta keluarga masing-masing.

“Sebelum ini nelayan tiada caruman dan ia adalah langkah proaktif Perkeso untuk nelayan mendapatkan perlindungan sama seperti yang dinikmati sektor lain.

“Skim ini terbuka kepada semua nelayan, namun mereka yang tidak menerima elaun tersebut boleh mencarum sendiri skim ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini Karnival Industri Makanan dan Pelancaran Caruman Perkeso Nelayan di Dewan Bunga Raya dekat Changkat Jering di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Husin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ronald (kiri) melawat reruai Persatuan Nelayan Negeri pada Mini Karnival Industri Makanan dan Pelancaran Caruman Perkeso Nelayan di Dewan Bunga Raya dekat Changkat Jering, Bukit Gantang hari ini.
Ronald (kiri) melawat reruai Persatuan Nelayan Negeri pada Mini Karnival Industri Makanan dan Pelancaran Caruman Perkeso Nelayan di Dewan Bunga Raya dekat Changkat Jering, Bukit Gantang hari ini.

Ronald berkata, cadangan caruman adalah sebanyak RM157.20 setahun bagi nelayan yang layak menerima Elaun Sara Hidup Nelayan.

“Pemotongan caruman ini akan dilaksanakan secara terus melalui Sistem Insentif Nelayan (FIP) secara berperingkat dan ia bermula pada 15 Ogos ini melibatkan seramai 3,879 nelayan.

“Saya yakin LKIM sentiasa mengambil langkah proaktif dan positif bagi menjaga kebajikan serta kesejahteraan nelayan.

“Pemilik bot kategori zon tangkapan B, C dan C2 juga perlu memberi kerjasama dengan mendaftar dan mencarum sendiri skim ini dengan Perkeso,” kata beliau.

Nelayan sambut baik SKSPS

Persatuan Nelayan Perak menyambut baik inisiatif Perkeso menyediakan perlindungan SKSPS yang memberi manfaat kepada lebih 15,000 nelayan di Perak.

Pengerusinya, Mansor Yusof berkata, SKSPS dapat memberi perlindungan keseluruhan kepada ahli berbanding insurans kelompok sebelum ini.

“Kita memang mengharapkan Perkeso buka satu skim yang memberi perlindungan kepada nelayan.

“Selepas mendengar penerangan yang disampaikan Perkeso, ia memberi banyak faedah kepada kami dari segi kebajikan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menggalakkan ahli-ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian, Matang, Sungai Tinggi, Manjung Utara, Manjung Selatan, Pangkor dan Hilir Perak dapat mencarum skim tersebut.

Sementara itu, nelayan, Ramli Saleh, 53, berkata, tugas mereka terdedah kepada pelbagai risiko ketika di perairan.

“Sebelum ini kami tidak mengetahui sangat skim-skim yang diperkenalkan Perkeso tetapi apabila mendengar penerangan skim SKSPS, banyak manfaatnya.

“Ia dipotong menerusi elaun yang kami terima, jadi sangat eloklah dan tidak mahal. Potong lebih pun tak apa kerana skim ini terlalu banyak kebaikannya untuk kami,” kata Ramli.

SKSPS beri perlindungan keseluruhan

Nelayan yang mencarum di bawah SKSPS bakal menikmati faedah tunai selain rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Dr Mohammed Azman berkata, SKSPS memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri seperti bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

“Sebagai permulaan, LKIM akan membuat caruman SKSPS kepada seramai 3,879 nelayan dengan bayaran caruman setahun sebanyak RM157.20 mengikut pilihan pelan 1 SKSPS.

Dr Mohammed Azman (kanan) bertukar MoU yang ditandatangani dengan Othman sambil disaksikan Ronald (tengah) di Dewan Bunga Raya dekat Changkat Jering hari ini.
Dr Mohammed Azman (kanan) bertukar MoU yang ditandatangani dengan Othman sambil disaksikan Ronald (tengah) di Dewan Bunga Raya dekat Changkat Jering hari ini.

“Di bawah skim ini, orang tanggungan atau waris layak mendapat Faedah Orang Tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja.

“Pinjaman pendidikan juga disediakan kepada anak-anak pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohammed Azman menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Othman yang disaksikan Ronald.

Majlis berlangsung pada Karnival Mini Industri Makanan dan Pelancaran Caruman Perkeso Nelayan di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini hari ini.

Dr Mohammed Azman berkata, menerusi kerjasama itu diharap perlindungan SKSPS dapat diperluaskan kepada sektor-sektor lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti pertanian serta penternakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!