Kerajaan perlu agresif majukan e-sukan

No Image Caption
A
A
A

Jumlah peminat e-sukan bertambah daripada 9.5 juta pada 2016 kepada 19.8 juta pada 2019. Angka itu mewakili kira-kira 60.7 peratus penduduk Malaysia pada tahun 2019.

Pada tahun 2020, jumlah peminat e-sukan dijangka meningkat lebih drastik didorong oleh faktor pandemik Covid-19 apabila ramai yang terkurung di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

E-sukan sudah dipertandingkan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dan Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina. Ia juga sedang dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Menurut sumber permainan kompetitif www.esportsearnings.com, hadiah wang tunai paling terbesar dalam sejarah e-sukan adalah sebanyak AS$34 juta (kira-kira RM140 juta) ditawarkan pada International Dota 2 Championship yang berlangsung di Shanghai, China pada Ogos 2019.

Bahkan pada tahun ini, pasaran industri e-sukan nilainya melebihi AS$1 bilion hasil daripada pengiklanan, tajaan, barang daga-ngan, hak penyiaran dan lain-lain lagi.

Negara Asia dan Amerika Utara menjadi negara pasaran terbesar dengan China mewakili satu per lima pasaran global.

Melihatkan kepada masa depan dan keuntungan yang besar daripada bidang berkenaan, sewajarnya kerajaan lebih agresif membangunkan industri e-sukan pada peringkat sekolah.

Walaupun dalam Belanjawan 2020 kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk membantu membangunkan industri e-sukan, usaha peringkat akar umbi masih kurang berkesan terutama di sekolah rendah dan menengah.

Artikel Berkaitan:

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berganding bahu untuk mewujudkan silibus e-sukan yang lebih mendalam, pembentukan kelab kokurikulum e-sukan dan juga perancangan lebih besar mewujudkan sekolah khas e-sukan yang berfungsi seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Kerajaan perlu bertindak lebih pantas kerana jika kita masih leka, Malaysia akan sentiasa ketinggalan di belakang sedangkan peluang dalam industri berkenaan cukup besar dan menjanjikan hasil yang lumayan.