Warga Jepun maut dirempuh ketika melintas jalan

A
A

GEORGETOWN - Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki ketika melintas jalan di Jalan Burmah di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian jam 9 pagi semalam, wanita warga Jepun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Shigeko berusia 81 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 2.55 petang semalam akibat mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya.

"Kejadian berlaku di lampu isyarat Jalan Burmah/Jalan Cantonment apabila mangsa sedang melintas jalan di garisan melintas pejalan kaki. Ketika itu, datang sebuah Perodua Myvi dari arah Jalan Burmah ke pusat bandar yang cuba mengelak mangsa namun gagal.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bawa ke HPP namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.55 petang. Pemandu kereta yang berusia 64 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, pemandu Perodua Myvi yang merupakan pesara mempunyai lesen memandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia