X

Kindly register in order to view this article
!

Kenaikan harga minyak sawit peluang peroleh pendapatan tambahan

Harga komoditi dan prestasi eksport minyak sawit mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sehingga menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM22.57 bilion. - Foto 123RF
A
A

MUAR - Harga minyak sawit negara yang berada pada paras RM2,800 satu tan ketika ini memberi peluang kepada pihak industri dan penanam sawit memperoleh hasil penjualan buah sawit lebih tinggi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga komoditi dan prestasi eksport minyak sawit mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sehingga menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM22.57 bilion.

“Menariknya ialah harga makin menaik barangkali kerana bila berlaku pandemik koronavirus (Covid-19) ini, Malaysia masih mengeluarkan minyak dan ada negara berhadapan dengan masalah pengeluaran jadi situlah berlakunya permintaan menjadi tinggi dan punca harga tinggi seperti yang berlaku sekarang, dan itu satu rezeki buat kita,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom MSPO di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Pagoh di sini hari ini.

Meskipun berdepan dengan cabaran pandemik itu, strategi kerajaan yang memberi kelonggaran dan kebenaran untuk beroperasi, yang mana pekebun dan peladang kelapa sawit boleh ke ladang, boleh menuai BTS (Buah Tandan Segar) mereka dan kilang boleh beroperasi walau dengan kapasiti minima pada awalnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata beliau.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Muhtar Suhaili.

Menurut Khairuddin, pelbagai usaha sedang dipergiatkan oleh kementeriannya dan MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil sawit melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara untuk melaksanakan pensijilan MSPO.

Sehingga kini, kesemua 162 SPOC di seluruh negara membabitkan 63,480 pekebun kecil persendirian telah mendapat pensijilan MSPO dengan keluasan 237,876 hektar (24.12 peratus) manakala 231,576 orang pekebun kecil tersusun di bawah kelolaan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri pula dengan keluasan 679,075 hektar (99.64 peratus) turut memperoleh pensijilan tersebut.

"Punca peratusan pekebun kecil persendirian masih kurang mendapatkan pensijilan MSPO adalah kerana tidak semua pekebun kecil berdaftar mengusahakan tanaman mereka, ada yang beralih pada tanaman lain, ada yang tidak aktif dalam menghasilkan tuaian.

"Keduanya, kesedaran bahawa minyak sawit ini perlu kita pastikan dikeluarkan secara mampan dan ketiganya, apabila sifatnya persendirian tidak mudah juga untuk kita pantau aktiviti mereka jadi melalui kempen besar -besaran ini kita harap mesej dapat disampaikan kepada pekebun kecil, yang mana kita nak pastikan minyak sawit kita berada pada standard yang diperakui dunia hingga tidak ada isu lagi yang melibatkan kemampanan," katanya.

Di Johor setakat ini, kesemua 43 SPOC telah memiliki pensijilan MSPI merangkumi 19,202 pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit seluas 49,629.37 hektar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!