Jangan guna jentera kerajaan, pamer kemewahan: Zahid

Ahmad Zahid menyerahkan bendera kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz sebagai simbolik penyerahan PDM angkat pada majlis tersebut.
Ahmad Zahid menyerahkan bendera kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz sebagai simbolik penyerahan PDM angkat pada majlis tersebut.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemimpin Barisan Nasional (BN) diberi peringatan supaya tidak menggunakan jentera kerajaan dan mempamerkan kemewahan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 12 Ogos ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun ramai pemimpin BN dan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) mempunyai jawatan dalam kerajaan, pihaknya tidak mahu dituduh menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik.

Menurutnya, segala tindak tanduk pemimpin BN dan rakan-rakan parti sedang diperhatikan oleh banyak pihak terutama pembangkang.

"Jangan libatkan langsung jentera kerajaan sebab kita tak mahu dituduh mempergunakan jentera kerajaan untuk berkempen. Tolong elak guna kemudahan kerajaan kerana kita sedang diperhatikan.

"Tanpa guna jentera kerajaan pun kita tahu bahawa pengundi di sini mahu pembangunan diteruskan di kawasan DUN Slim ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan beberapa pemimpin tertinggi UMNO, BN, Pas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta rakan-rakan BN.

Ahmad Zahid berkata, jentera luar yang mahu membantu calon BN pada PRK DUN Slim diminta menghormati dan memahami budaya masyarakat setempat agar tidak menggores perasaan mereka.

"Kita tak mahu jentera datang dengan kemewahan. Kita harus faham dan menghormati budaya masyarakat setempat. Jangan ada sikap ego dan libatkan semua jentera yang nak membantu.

Artikel Berkaitan:

"Jangan ketepikan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan yang mahu membantu kita untuk meraih kemenangan bergaya pada PRK DUN Slim ini," katanya yang juga Pengerusi BN.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid meminta semua pemimpin dan ahli parti mengenepikan sebarang perbezaan yang boleh mengganggu perjalanan kempen untuk memenangkan calon.

Katanya, semua jentera di setiap peringkat perlu diselaraskan agar kemenangan besar dapat dicapai pada PRK ketujuh yang dilalui bersama-sama Pas dan kedua bersama Bersatu.

Beliau berharap, kerjasama jitu di antara rakan-rakan parti akan mampu memenangi semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada 13 PDM yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mengenai calon pula, Ahmad Zahid menjelaskan segala teka-teki akan terjawab pada 12 Ogos nanti sewaktu pengumuman calon yang akan mewakili BN pada PRK DUN Slim berkenaan.

Beliau turut menasihatkan calon-calon yang tidak terpilih supaya tidak kecewa kerana masih mempunyai peluang pada PRU15.