Dua individu cuba rasuah penguat kuasa ditahan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini menahan dua individu kerana cuba memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa.

SPRM dalam kenyataan berkata suspek pertama merupakan lelaki warga Bangladesh berusia 46 tahun yang ditahan di pejabat SPRM negeri pada 11 pagi.

"Berdasarkan soal siasat, suspek ini cuba memberi RM10,000 kepada seorang anggota polis sebagai dorongan untuk melepaskan 17 warga asing yang ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya.

Menurut SPRM, suspek kedua pula lelaki tempatan berusia 57 tahun yang merupakan pengusaha sebuah kedai makan ditahan di pejabat SPRM Kluang kira-kira 12 tengah hari kerana cuba memberi rasuah RM200 kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

"Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premis perniagaan miliknya yang mempamerkan iklan tanpa kebenaran," katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias yang dihubungi mengesahkan dua tangkapan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: