Armada Langkawi kekal sokong Bersatu

Amar Pared (lima dari kiri) bersama ahli Armada Bersatu Langkawi menyatakan sokongan penuh terhadap Bersatu pimpinan Muhyiddin.
Amar Pared (lima dari kiri) bersama ahli Armada Bersatu Langkawi menyatakan sokongan penuh terhadap Bersatu pimpinan Muhyiddin.
A
A
A

LANGKAWI - Ahli Jawatankuasa (AJK) Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Langkawi akan terus kekal dalam parti itu dan menyokong wadah perjuangan parti selagi tidak tersasar daripada perlembagaan parti dan negara.

Ketuanya, Amar Pared Mahamud berkata, Armada Langkawi tidak keluar daripada parti tersebut dan yakin Bersatu tetap relevan walaupun pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Ketua Bahagian Langkawi menubuhkan parti baharu.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, individu bebas memilih atau menganggotai mana-mana parti politik sebagai wadah perjuangan dan ideologi mengikut kehendak mereka.

“Memandangkan kini berlaku fenomena ahli umum keluar parti, pengurusan parti perlu melakukan pemutihan supaya tidak berlaku individu menjadi ahli dua parti. Ini kerana mungkin ada yang keluar, namun masih ada yang terus setia bersama parti,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Amar Pared berkata, kerajaan Perikatan Nasional sudah melaksanakan tanggungjawab yang terbaik menjaga kebajikan rakyat ketika negara diuji dengan wabak Koronavirus (Covid-19) yang belum ada penghujungnya.

Pada masa sama katanya, pemimpin yang banyak berjasa kepada negara seperti Dr Mahathir tidak perlu dicemuh.

“Walau kita tidak lagi sehaluan dalam politik, tiada sebab untuk kita tidak kenang jasa beliau atau bersikap kurang ajar terhadap beliau. Beliau tetap negarawan dunia yang harus dihormati,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta. Turut sama meletakkan jawatan dan keluar parti ialah 22 daripada 25 AJK Bersatu Bahagian Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Susulan pengumuman itu, sebanyak 16 cawangan Bersatu Bahagian Langkawi melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan Ketua Bahagian, 22 AJK Bersatu Langkawi umum keluar parti

Mengulas lanjut, Amar Pared yakin Bersatu Langkawi tidak akan berkubur selepas pengumuman keluar parti itu.

“Yang hadir pada sidang media berkenaan tidak kurang 50 orang. Majoriti adalah yang bekerja di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Langkawi seperti Timbalan Ketua Bahagian, Ketua Srikandi dan Ketua Penerangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad yang juga ahli Bersatu Langkawi menegaskan, Bersatu Langkawi tidak lumpuh susulan situasi terkini itu.

“Parti tetap seperti biasa, kita masih ada Ketua Armada dan Naib Ketua Bahagian. Jawatan Setiausaha, Ketua Penerangan serta AJK adalah lantikan. Buat masa ini, kuasa pengurusan diambil alih Naib Ketua dan akan buat proterm segera,” katanya.

Menurutnya, hanya 16 cawangan daripada 25 cawangan Bersatu Bahagian Langkawi terbubar, dan bukan melibatkan keseluruhan parti.