X

Kindly register in order to view this article
!

'Hanya presiden parti muktamadkan pembahagian kerusi PRU15'

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.
A
A

TANJUNG MALIM - Pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap parti-parti yang terlibat perlu menyelesaikan pembahagian kerusi di peringkat parti masing-masing terlebih dahulu.

Menurutnya, selepas itu jawatankuasa perunding di antara parti-parti berkenaan akan berbincang mengenai pembahagian kerusi berkenaan.

"Apabila tiba masanya setelah penyelesaian di peringkat parti masing-masing maka jawatankuasa perunding tersebut akan duduk membincangkan pembahagian kerusi berkenaan tetapi perkara itu hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti terlibat.

"Perbincangan secara umum jawatankuasa perundingan telah diadakan minggu lalu tetapi perbincangan mengenai pembahagian kerusi belum ditentukan secara terperinci," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera dan Penyerahan Bahagian Angkat PRK DUN Slim di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.

Beliau berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar tidak boleh ada pihak yang bersifat tamak atau kedekut dalam pembahagian kerusi Muafakat Nasional menjelang PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jangan tamak, kedekut kerusi’

Sementara itu, mengenai pengumuman Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15, Ahmad Zahid menjelaskan tiada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara tersebut.

Katanya, pembahagian kerusi untuk PRU15 belum dikenalpasti apatah lagi pemilihan calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti.

Mohamad dilaporkan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Cawangan Sri Kota, semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!