Kluster Kurau, Meranti pula dikesan

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu berkaitan wabak koronavirus (Covid-19) iaitu Kluster Kurau di Pulau Pinang dan Kluster Meranti di Putrajaya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan Kluster Kurau, beliau berkata, kluster itu melibatkan dua kes positif dengan kes pertama kluster itu adalah kes ke-9,050 dilaporkan Jumaat lalu manakala kes kedua adalah kes ke-9,082 yang merupakan abang ipar kepada kes ke-9,050.

“Beliau (kes kedua) dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat. Susulan itu, beliau sekeluarga yang berada di Pulau Pinang turut disaring.

“Hari ini beliau dikesan positif Covid-19 manakala ahli keluarganya seramai lima orang yang disaring setakat ini dikesan negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sehingga kini 115 kontak rapat telah disaring dengan 106 adalah negatif manakala sembilan masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” katanya.

Mengenai Kluster Meranti, Dr Noor Hisham berkata, kes positif dikesan semalam apabila seorang petugas kesihatan iaitu kes ke-9,083 dikesan positif.

“Beliau mempunyai kontak kepada kes ke-8,968, iaitu kes Covid-19 yang dikesan hasil daripada saringan prapembedahan. Setelah disiasat, kes ke-8,968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan di mana kes ke-9,083 telah bertugas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Noor Hisham, kementerian menjalankan ujian saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif dengan 15 individu telah disaring setakat ini.

“Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan,” katanya. - Bernama