X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Tempat duduk blok Tun M dalam dewan akan diperkemas

Dewan Rakyat
A
A

BATU PAHAT - Tempat duduk Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat akan disusun semula bagi membolehkan mereka berada dalam satu blok.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Mohd Rashid Hasnon berkata, pada masa ini tempat duduk bekas perdana menteri itu dan lima lagi Ahli Parlimen yang bersama-sama beliau berjauhan antara satu sama lain, sekali gus menyukarkan kumpulan enam Ahli Parlimen Bebas tersebut berbincang tentang isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat.

“Jika kita perhatikan sekarang ini Ahli Parlimen Langkawi (Dr Mahathir) berada di bahagian depan dan kedudukannya dengan lima lagi yang lain agak berjauhan.

“Jadi kita akan tempatkan semula mereka agar dapat duduk di satu tempat yang berhampiran,” katanya pada sidang media selepas perasmian Program Jom Kerja Parlimen Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor Tong Sing Chuang dan Pengurus Perkeso Batu Pahat Suhara Mustaffa.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid berkata, ketika ini kumpulan enam Ahli Parlimen Bebas tersebut didapati sering terlepas peluang untuk mengutarakan pandangan dengan sesi mesyuarat lazimnya dikuasai Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!