Paksi bimbang pusat kuarantin di hotel beri kesan

Memorandum bantahan Paksi yang diedarkan kepada media meluahkan rasa kurang senang pemilihan hotel di Seri Iskandar sebagai pusat kuarantin Covid-19.
Memorandum bantahan Paksi yang diedarkan kepada media meluahkan rasa kurang senang pemilihan hotel di Seri Iskandar sebagai pusat kuarantin Covid-19.
A
A
A

IPOH - Persatuan Usahawan Muslim Seri Iskandar (Paksi) meminta pihak berkaitan mempertimbangkan semula keputusan menjadikan sebuah hotel di Seri Iskandar sebagai pusat kuarantin bagi individu yang baharu pulang dari luar negara.

Pengerusinya, Zulhamzi Mokhtar berkata, satu memorandum bantahan dikemukakan bagi menyatakan kebimbangan tindakan itu yang akan menjejaskan perniagaan usahawan di kawasan Seri Iskandar.

Beliau berkata, selepas notis daripada pihak pengurusan hotel tersebut memaklumkan penggunaan hotel berkenaan sebagai pusat kuarantin tular, ia mencetuskan situasi panik dan gusar dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak ada masalah untuk hotel dijadikan pusat kuarantin namun pemilihan hotel yang berada di dalam kawasan tumpuan orang ramai menimbulkan suasana kurang selesa dalam kalangan masyarakat.

"Malah sudah ada mesej yang tular melarang orang ramai ke Bandar Seri Iskandar kerana bimbang berlakunya penularan Koronavirus (Covid-19) oleh mereka yang dikuarantin di hotel berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Paksi memantau dengan terperinci terhadap kejadian yang berlaku di Bandar Meru Raya apabila seorang wanita yang melanggar perintah kuarantin di rumah keluar makan di sebuah kedai di bandar itu menyebabkan perniagaan di kawasan itu terjejas teruk disebabkan gambar yang tular.

Zulhamzi berkata, kejadian seumpama itu dibimbangi berlaku di kawasan Seri Iskandar kerana lokasi pusat kuarantin sangat hampir dengan pusat perniagaan dan kawasan tumpuan awam.

Beliau berkata, pihak Paksi mencadangkan agar lokasi pusat kuarantin dibuat di kawasan yang bukan tumpuan ramai atau pusat perniagaan dan berkepadatan rendah contohnya seperti institusi milik kerajaan berhampiran seperti di Institut Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampung Gajah.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan pihak berkuasa ketika kuarantin itu namun persoalan yang timbul mengapa Seri Iskandar dipilih sedangkan ada alternatif kawasan lain yang bukan kawasan tumpuan ramai dan berkepadatan rendah. Sekaligus ia membantu mengurangkan risiko penularan kesan sentimen kepada para peniaga setempat.

"Kami mewakili lebih 300 usahawan di Seri Iskandar tidak mahu bandar ini terjejas. Dalam tempoh ini berilah peluang peniaga di sini untuk pulihkan perniagaan mereka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang menyebabkan ramai peniaga terkesan katanya.

Katanya, sebarang keputusan mengenai lokasi pusat kuarantin perlu mengambil kira kesesuaian dan implikasi setempat sebelum pewartaan dibuat agar tidak menjejaskan ekonomi serta mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.