X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Nelayan Vietnam curi hasil laut negara ditangkap

Seramai 31 awak-awak termasuk tekong berusia 18 hingga 50 tahun yang berada di dalam dua bot nelayan Vietnam turut ditahan, semalam .
A
A

KUALA TERENGGANU – Kapal Maritim (KM) Tok Bali memberkas tekong dan kru kapal melibatkan dua bot nelayan Vietnam kerana menceroboh serta mencuri hasil laut di perairan negara pada jarak 94 batu nautika dan 107 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan itu dilakukan menerusi Op Kuda Laut Siri I/2020 di perairan Terengganu sekitar jam 10 hingga 12 tengah hari oleh seramai 25 pegawai termasuk kru kapal tersebut.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan usaha tangkapan mengambil masa sehingga satu jam. Ketika ditahan nelayan terbabit dipercayai cuba melarikan diri untuk keluar dari perairan negara menuju ke perairan antarabangsa.

"Pemeriksaan lanjut ke atas dua bot yang dinaiki 31 kru termasuk tekong berusia 18 hingga 50 tahun itu turut menemui hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan berjumlah hampir RM3 juta,” katanya dalam sidang media di Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot-bot ini ditahan kerana tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia dan kru tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta salah satu bot tiada nombor pendaftaran atau lesen.

"Kesemua tahanan dibawa menjalani proses saringan koronavirus (Covid-19) oleh petugas Кementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” katanya.

KM Tok Bali berjaya menumpaskan dua bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh serta mencuri hasil laut negara.
KM Tok Bali berjaya menumpaskan dua bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh serta mencuri hasil laut negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 27 buah bot nelayan asing melibatkan seramai 301 nelayan warga Vietnam berjaya ditahan menerusi operasi itu manakala 90 buah bot melibatkan lebih 900 nelayan Vietnam pula berjaya diusir daripada terus menceroboh perairan negara.

“APMM akan terus melaksanakan rondaan di sempadan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan asing yang tidak serik menjarah hasil laut tanpa kebenaran.

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara serta memandang serius penglibatan nelayan tempatan yang bersekongkol dan menjadi tali barut nelayan asing,” katanya.

KM Tok Bali dilengkapi peralatan canggih seperti pesawat tanpa pemandu, meriam, kamera infrared pemerhatian jarak jauh Sistem AIS atau automatic identification system, peralatan SAR seperti peralatan selam, peralatan pencegahan tumpahan minyak dan pelbagai peralatan terkini.

Kapal peronda generasi baharu atau New Generation Patrol Craft (NGPC) yang baharu sahaja diterima APMM bersama KM Kota Kinabalu pada 6 Julai lalu itu merupakan kapal buatan Malaysia yang dibina di Pelabuhan Klang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!