Johor lantik 25 Penyelaras DUN berpengalaman

Hasni (tengah) menyerahkan lantikan Penyelaras DUN kepada Nur Jazlan (kanan) sambil diperhatikan Azmi (kiri) di Kota Iskandar hari ini.
Hasni (tengah) menyerahkan lantikan Penyelaras DUN kepada Nur Jazlan (kanan) sambil diperhatikan Azmi (kiri) di Kota Iskandar hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMASKINI] Seramai 25 individu dilantik sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor oleh kerajaan negeri berdasarkan pengalaman mereka.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ada dalam kalangan Penyelaras DUN terbabit merupakan bekas ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas Ahli Parlimen yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri.

Malah, katanya, mereka yang dilantik mempunyai pengalaman luas berkaitan masyarakat dan ia amat penting kepada kerajaan negeri bagi membolehkan isu rakyat dapat diselesaikan dengan segera.

"Kerajaan negeri menyedari pengalaman dimiliki mereka dengan anggota masyarakat setempat sangat penting. Ini kerana pada masa kini kita berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk penularan wabak koronavirus (Covid- 19)," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Penyelaras DUN Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

25 Penyelaras DUN yang menerima watikah lantikan kerajaan negeri hari ini.
25 Penyelaras DUN yang menerima watikah lantikan kerajaan negeri hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Tiga Penyelaras DUN yang berpengalaman sebagai Timbalan Menteri ialah Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi (bekas Timbalan Menteri Pelajaran II), Datuk Seri Razali Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri I).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasni berkata, Penyelaras DUN akan diberi sejumlah peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan program lazim bersama anggota masyarakat setempat.

Selain itu, beliau berkata, sekiranya berlaku kecemasan seperti bencana banjir, Penyelaras DUN akan turun padang bagi membantu penduduk yang terjejas.