Parti baharu Dr Mahathir tak kacau UMNO Johor: Hasni

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Parti baharu yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengacau UMNO di Johor, kata Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor pada masa sama berkata, masalah rakyat perlu diutamakan berbanding memikirkan soal parti baharu yang ditubuhkan Dr Mahathir itu.

"Beliau (Dr Mahathir) tak kacau parti saya.

"Penting pada hari ini adalah meletakkan rakyat sebagai keutamaan, tetapi kalau kita selalu berpolitik, bimbang akan membelakangkan masyarakat," katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penyelaras DUN di Kota Iskandar di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Tambah beliau, sikap terlalu berpolitik dikhuatiri akan membelakangkan kepentingan masyarakat memandangkan negara masih menghadapi insiden penularan wabak koronavirus (Covid- 19).

Kelmarin, Dr Mahathir yang merupakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengumumkan penubuhan sebuah parti Melayu baharu dengan melantik dirinya sebagai Pengerusi parti itu sementara anak beliau, Datuk Seri Muhkriz Mahathir menjadi Presiden.

Menurut Dr Mahathir, parti baharu tersebut tidak terikat dengan mana-mana parti campuran sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Susulan pengumuman itu, tular di media sosial mengenai laporan beberapa portal yang mendakwa Bersatu Johor akan berpecah berikutan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir tubuh parti baharu, tidak terikat dengan PH atau PN