20 NGO bergabung lancar misi bantuan mangsa letupan Beirut

Tragedi letupan Beirut mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa.
Tragedi letupan Beirut mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mewujudkan Sekretariat Aid4Lebanon dalam usaha melancarkan misi bantuan kepada mangsa letupan ammonium nitrat di Beirut, Selasa lalu.

Aid4Lebanon melalui kenyataan hari ini berkata, sekretriat itu dianggotai NGO yang berpengalaman mengendalikan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Menurutnya, gabungan itu dianggotai PasRelief, Yayasan Amal Malaysia, Yayasan Kubra, Yayasan Isra’ Malaysia, Geng Ustaz, Muslim Care Malaysia, Muslim Care Global (MCG), Yaman Care, Syabab Care dan Azhar Care.

NGO lain termasuk Iman Care, Warga Cakna, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Medicom, NurFitrah, MusMedik, International Muslim Women Union Malaysia (IMWU), Sadaqah Centre, Sahabat Care dan MyHawa.

"Peristiwa letupan ammonium nitrat di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa manakala ratusan ribu mangsa kehilangan tempat kediaman amat menyedihkan kita.

"Tidak cukup dengan kes wabak koronavirus (Covid-19) yang telah meragut 68 nyawa dan lebih 5,000 kes positif, kerajaan Lubnan terpaksa berdepan bencana letupan besar sehingga diumumkan darurat selama dua minggu. Kita bersimpati dengan keadaan yang berlaku ini," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook PasRelief.

Sekretariat Aid4Lebanon melancarkan misi bantuan kepada mangsa letupan di Beirut.
Sekretariat Aid4Lebanon melancarkan misi bantuan kepada mangsa letupan di Beirut.

Kenyataan itu turut memberitahu, bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan, sekretariat berkenaan akan melancarkan kempen sumbangan untuk mangsa terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan segera yang diperlukan ialah bantuan perubatan dan keperluan harian selain menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambahnya, saluran sumbangan akan diselaraskan secara rasmi di bawah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru, Sekretariat Aid4Lebanon menyeru rakyat Malaysia untuk bersama menyumbang bagi menyatakan solidariti terhadap kemanusiaan sejagat itu.