Gelombang keluar parti dijangka berterusan

Syed Agil Alsagoff
Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Gelombang ahli dan pimpinan keluar parti yang mula melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak menjejaskan pengaruh Bersatu sedia ada.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan bahawa gelombang itu berlaku kerana pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Pengerusi Bersatu.

Beliau turut berpendapat, perkara itu berterusan kerana pengaruh Dr Mahathir terhadap beberapa pemimpin Bersatu.

“Mereka dijangka menyertai parti yang bakal ditubuhkan tetapi jumlahnya tidaklah besar sehingga boleh menjejaskan pengaruh Bersatu,” katanya mengulas tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang bertindak keluar parti itu berikutan pengumuman penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, namun sekiranya trend keluar parti itu berlaku secara berterusan beliau percaya ia bakal mengundang konflik dan masalah terhadap sokongan diterima Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu katanya, Bersatu harus membina jalinan strategik bijak bersama UMNO dan Pas sama ada terus berpayung di bawah Perikatan Nasional atau memanfaatkan pengaruh dengan menyertai Muafakat Nasional sebagai satu jalinan parti politik berlandaskan Melayu dan Islam.

“Bersatu harus memain peranan membina satu platform jalinan bersama parti-parti lain yang boleh menyokong perjuangan bagi menarik keyakinan dan kepercayaan pengundi terhadap parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Agil menjangkakan pemimpin Bersatu yang gagal mendapatkan tempat pada pemilihan Bersatu kelak juga akan beralih arah dan mengintai peluang dalam parti baharu yang bakal diterajui oleh bekas Perdana Menteri itu.

Artikel Berkaitan:

”Ini kerana mereka mahu meneruskan agenda perjuangan yang gagal atau dinafikan oleh Bersatu sebelum ini. Samalah seperti parti serpihan daripada parti induk sebelum ini seperti Semangat 46,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sama ada penghijrahan pemimpin asalnya dari Bersatu ke parti baharu itu akan bertahan lama atau tidak sangat bergantung kepada relevannya mereka dalam memperjuangkan agenda politik masing-masing.

“Sekiranya mereka mahu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam dalam konteks politik perpaduan, saya percaya konflik ini dapat diselesaikan nanti apabila kesedaran terhadap perjuangan membina negara bangsa itu dapat dihayati oleh setiap pengamal politik di negara ini,” katanya.