RM390,000 bina bangunan baharu

Aminolhuda (tiga, kiri) melihat keadaan bangunan SA Pengkalan Batu yang rosak akibat dimakan anai-anai.
Aminolhuda (tiga, kiri) melihat keadaan bangunan SA Pengkalan Batu yang rosak akibat dimakan anai-anai.
A
A
A

MERSING - Kerajaan Johor memperuntukkan RM390,000 untuk membina bangunan baharu menggantikan bangunan Sekolah Agama (SA) Pengkalan Batu di sini yang uzur akibat dimakan anai-anai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan ketika lawatannya ke sekolah berkenaan semalam turut mengumumkan pembinaan sebuah bangunan tambahan dua tingkat untuk menampung bilangan pelajar di sekolah itu.

“Sekolah agama ini mengalami kekurangan bilik darjah kerana bilik darjah yang dibina pada 1960 telah diserang anai-anai.

“Hasil lawatan dilakukan kita dapati memang berlaku kerosakan dan laporan pihak Jabatan Kerja Raya juga memaklumkan bangunan berkenaan tidak selamat digunakan.

“Bila tidak selamat perlukan bangunan baharu. Hasil perbincangan kami telah ambil keputusan untuk menyalurkan bantuan segera melalui pembinaan bangunan baharu di tapak bangunan lama berkenaan yang akan diruntuhkan,” katanya selepas melawat bangunan sekolah yang uzur itu, semalam.

Aminolhuda berkata, pembinaan bangunan tambahan dua tingkat yang menyediakan kemudahan 12 bilik darjah di sekolah berkenaan juga bakal memberi kemudahan kepada anak-anak pelajar.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih di atas usaha ketua kampung dan pejabat daerah yang memberikan khemah sementara untuk anak-anak di sekolah itu solat berjemaah susulan surau sedia ada dijadikan tempat kelas belajar.

“Apabila saya melihat berita yang agak mengejutkan saya bersama pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) terus ambil tindakan buat lawatan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun ada yang cakap macam-macam terhadap kerajaan baharu tapi kita tunjukkan bahawa kita utamakan pendidikan agama. Tambahan pula kita baru menyambut 100 tahun pendidikan agama di Johor jadi kita akan buat sebaik mungkin untuk agama,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian menyiarkan laporan di mana pelajar sekolah agama berkenaan terpaksa menggunakan khemah untuk menunaikan solat berjemaah sejak sebulan lalu.

Ketua Kampung Pengkalan Batu, Abd Aziz Ismail berkata, ekoran pertambahan kemasukan pelajar baharu pada tahun ini menyebabkan pihak sekolah mengambil inisiatif tersebut bagi meneruskan sesi pembelajaran.

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai dua bangunan namun satu bangunan tidak dapat digunakan kerana telah diserang anai-anai bahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah mengisytiharkan ia tidak selamat.