Selangor pantau Surau Al-Jannah Seksyen 23

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor sedang memantau perkembangan terkini Surau Al-Jannah Seksyen 23 susulan seorang jemaahnya mempunyai konteks rapat dengan seorang individu yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) daripada Kluster Sivagangga.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, surau yang ditutup kelmarin itu kini berada di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri dan kerajaan negeri kini sedang menunggu maklumat berkaitan kontak rapat terbabit.

"Saya nasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelakkan perebakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok di Dalam Kawasan Taman-taman Negeri Selangor di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Terdahulu, 7 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan jawatankuasa Surau Al-Jannah Seksyen 23, Shah Alam di sini menutup semua operasi surau berkenaan termasuk solat Jumaat, solat fardu lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut diarah tutup adalah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Al-Jannah.

Penutupan itu dibuat berikutan terdapat ahli jemaah surau itu yang mempunyai konteks rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan: